KUALA LUMPUR 7 Okt - Binastra Corporation Berhad menerusi Binastra Green Energy Sdn Bhd menerima kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM305 juta daripada Bahru Stainless Sdn Bhd bagi pembangunan kemudahan tenaga solar berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga bateri di kilang pengeluarannya di Pasir Gudang.
Projek itu merangkumi reka bentuk dan pembinaan sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 65MWp, teridiri daripada 15MWp pemasangan bumbung dan 50MWp pemasangan di atas tanah bersama-sama dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200MWh.
Keseluruhan sistem itu akan dipasang di dalam kawasan kilang pembuatan Bahru Stainless dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh permulaan projek.
Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, pencapaian itu menzahirkan visi tenaga hijau mereka dan ia menandakan permulaan perjalanan kumpulan untuk mempercepatkan penerimaan tenaga boleh baharu (RE) dalam kalangan pengguna industri, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program solar for self consumption (SelCo) Malaysia.
Beliau berkata, keunikan projek solar-BESS itu terletak pada integrasi kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistemnya, yang membolehkan ramalan tenaga lebih pintar, pengoptimuman masa nyata serta penyelenggaraan ramalan.
"Apabila beroperasi sepenuhnya, projek ini dijangka menjana kira-kira 80 juta kWh tenaga solar setiap tahun, yang mampu menampung sekitar 80% daripada penggunaan tenaga Bahru Stainless.
"Berdasarkan unjuran dalaman kami, inisiatif ini berpotensi mengurangkan kos tenaga Bahru Stainless sehingga RM45.6 juta setahun, serta mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 61,920 tan," katanya.
Kontrak itu dianggap sebagai urusan pihak berkaitan memandangkan Jackson dan Pengarah Eksekutif Binastra, Lee Seng Yong masing-masing memegang kepentingan langsung sebanyak 12.5% dan 7.5% dalam Worldwide Stainless Sdn Bhd, iaitu syarikat induk kepada Bahru Stainless.- DagangNews.com








