Berjaya Property beli 29% pegangan Manjaran bernilai RM58 juta, sertai pembangunan Koridor Maritim Perlis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Property beli 29% pegangan Manjaran bernilai RM58 juta, sertai pembangunan Koridor Maritim Perlis

Ilustrasi Koridor Maritim Perlis apabila siap sepenuhnya kelak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Berjaya Property Berhad bercadang membeli pegangan sebanyak 29% dalam Manjaran Sdn Bhd menerusi langganan 2.32 juta saham baharu bernilai RM58 juta yang akan membolehkan syarikat itu menyertai pembangunan projek Koridor Maritim Perlis (PMC). 

 

Cadangan itu akan memberikan Berjaya Property kepentingan efektif 18.56% dalam perniagaan teras Manjaran menerusi anak syarikatnya, Mutiara Perlis Sdn Bhd yang sedang membangunkan projek berkenaan. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, daripada jumlah RM58 juta itu, sebanyak RM57.9 juta akan diselesaikan melalui penerbitan 206.79 juta saham baharu Berjaya Property pada harga RM0.28 sesaham manakala baki RM100,000 akan dibayar secara tunai menggunakan dana dalaman kumpulan. 

 

Selepas urus niaga dimuktamadkan, Manjaran akan memiliki kira-kira 4.06% daripada modal saham diterbitkan Berjaya Property yang diperbesarkan hasil penerbitan saham baharu tersebut. 

 

Menurut Berjaya Property, cadangan pelaburan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk memperoleh kepentingan dalam PMC, sebuah projek pembangunan induk yang disasarkan menjadi hab logistik bersepadu di utara Semenanjung Malaysia. 

 

PMC merangkumi tiga komponen utama iaitu Perlis Inland Port (PIP), Perlis Sanglang Port (PSP) dan Perlis Power Hub (PPH) yang dibangunkan bagi menghubungkan kemudahan pelabuhan laut, pelabuhan darat dan infrastruktur tenaga dalam satu ekosistem. 

 

Menurut syarikat itu, projek berkenaan dijangka menjadi pintu masuk perdagangan utama di utara negara dengan memanfaatkan rangkaian kereta api Pan-Asia yang akan mempercepatkan pergerakan dagangan antara Malaysia, Thailand dan China. 

 

Fasa pertama PIP telah memulakan operasi pada Disember 2025 dengan kapasiti pengendalian awal sebanyak 600,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun, iaitu empat kali ganda berbanding kapasiti Terminal Kontena Padang Besar sebelum ini. 

 

Penilaian Berdasarkan Potensi Projek

Berjaya Property berkata, nilai RM58 juta bagi pegangan 29% dalam Manjaran adalah penilaian keseluruhan syarikat sekitar RM312.5 juta, yang dipersetujui berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual selain mengambil kira prospek projek dan penilaian syarikat pelabuhan tersenarai di Malaysia. 

 

Berdasarkan unjuran aliran tunai yang disediakan pengurusan Manjaran, PIP dijangka menjana purata keuntungan selepas cukai sebanyak RM16 juta setahun bagi tempoh 20 tahun bermula tahun kewangan berakhir 30 September 2027. 

 

Penilaian itu diterjemahkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 19.53 kali, iaitu berada dalam julat syarikat pelabuhan tersenarai di Malaysia seperti Westports Holdings Bhd, Bintulu Port Holdings Bhd dan Suria Capital Holdings Bhd. 

 

Syarikat turut menjangkakan prospek projek itu disokong oleh pertumbuhan subsektor pengangkutan dan penyimpanan negara serta peningkatan aktiviti perdagangan serantau, yang dijangka merangsang permintaan terhadap perkhidmatan logistik dan pelabuhan pada masa hadapan. 

Tidak Perlu Kelulusan Pemegang Saham

Bagaimanapun, Berjaya Property mengakui cadangan pelaburan itu berdepan beberapa risiko termasuk kelewatan memenuhi syarat perjanjian, prestasi projek yang tidak mencapai sasaran, perubahan dasar kerajaan, ketidaktentuan ekonomi, geopolitik, tarif perdagangan serta peningkatan kos pembangunan yang boleh menjejaskan pulangan pelaburan. 

 

Cadangan langganan saham itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Berjaya Property kerana penerbitan saham baharu akan dilaksanakan di bawah mandat am yang telah diluluskan pada mesyuarat agung tahunan syarikat. 

 

Sebaliknya, urus niaga itu tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian saham baharu dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, jika diperlukan. 

 

Lembaga Pengarah berpandangan cadangan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangannya apabila PMC beroperasi sepenuhnya. - DagangNews.com