Segmen pengangkutan marin penyumbang terbesar keuntungan 1QFY2026, Lianson Fleet mahu tambah dua lagi kapal kargo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pengangkutan marin penyumbang terbesar keuntungan 1QFY2026, Lianson Fleet mahu tambah dua lagi kapal kargo

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Lianson Fleet Group Bhd sedang berunding mengenai harga bagi pembelian dua kapal kargo pukal baharu selepas berjaya melupuskan enam kapal sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).

 

Selain itu, ia juga merancang melupuskan tiga kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang berusia antara 17 hingga 19 tahun pada tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi mengoptimumkan armada serta memperkukuh perniagaan pengangkutan marin yang kini menjadi pemacu baharu pertumbuhan kumpulan.

 

Pengarah Urusannya, Lim Chern Wooi berkata syarikat mahu menjual kapal-kapal tersebut ketika masih mempunyai nilai pasaran sebelum menggunakan hasil pelupusan itu untuk memperoleh aset yang lebih moden.

 

"Kami berharap dapat melupuskan kapal-kapal itu sementara masih mempunyai nilai supaya modal berkenaan boleh dikitar semula kepada aset yang lebih baik dan lebih moden," katanya pada taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat.

 

Pengangkutan Marin Muncul Penyumbang Utama

Lianson Fleet mula menceburi segmen pengangkutan marin pada 2025 dan perniagaan itu kini muncul sebagai penyumbang terbesar kepada prestasi kewangan kumpulan.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan 2026, segmen pengangkutan marin menyumbang 46.9% daripada hasil kumpulan serta mencatat keuntungan RM19.09 juta, jauh mengatasi segmen OSV yang merekodkan keuntungan RM9.19 juta.

 

Sehubungan itu, syarikat menjangkakan segmen OSV dan pengangkutan marin akan menyumbang secara seimbang kepada hasil serta keuntungan bagi tahun kewangan 2026 yang akan mengukuhkan kedudukan kedua-dua perniagaan sebagai tonggak utama kumpulan.

 

Kurangkan Purata Usia Kapal Kepada Sekitar 10 Tahun

Dalam usaha memperbaharui armada, Lianson Fleet menyasarkan untuk mengurangkan purata usia 53 kapalnya daripada 15 tahun kepada sekitar 10 tahun dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Pada masa sama, kumpulan menyasarkan kadar penggunaan armada meningkat kepada sekitar 80% pada FY2026 berbanding 74% pada FY2025 dan 69% pada FY2024.

 

Lim berkata, prestasi suku pertama tahun ini dipengaruhi musim tengkujuh yang menjejaskan aktiviti operasi, namun beliau menjangkakan kadar penggunaan kapal akan bertambah baik pada suku kedua dan ketiga apabila keadaan cuaca lebih menggalakkan.

 

Beliau turut menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan perkapalan kekal kukuh berikutan banyak negara dijangka menambah semula simpanan minyak masing-masing susulan konflik di Timur Tengah, sekali gus menyokong aktiviti penghantaran komoditi tenaga.

 

Lianson Fleet ketika ini mempunyai buku tempahan bernilai RM780.7 juta yang menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga tujuh tahun akan datang, sekali gus memberi asas kukuh kepada pertumbuhan kumpulan dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com