MISC perlu tingkatkan pelaburan armada petroleum bagi capai sasaran pertumbuhan 2030 - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC perlu tingkatkan pelaburan armada petroleum bagi capai sasaran pertumbuhan 2030 - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jun - MISC Bhd dijangka meningkatkan pelaburan dalam perniagaan perkapalan petroleum dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memperluaskan armada, menambah kapal dwi-bahan api serta mempercepatkan pengembangan ke dalam segmen tenaga baharu bagi mencapai sasaran pertumbuhan aliran tunai operasi menjelang 2030.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, peningkatan perbelanjaan modal dan penghantaran kapal baharu adalah langkah yang tidak dapat dielakkan sekiranya MISC mahu mencapai sasaran pertumbuhan aliran tunai operasi di bawah pelan MISC 2030.

 

Menurut firma penyelidikan itu, cabang perkapalan petroleum MISC, American Eagle Tankers Ltd (AET), terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan perniagaan menerusi gabungan kontrak sewaan jangka panjang, di samping mempercepatkan agenda penyahkarbonan dan pembangunan perniagaan tenaga baharu.

 

"Pelupusan berterusan kapal pengangkut gas asli cecair (LNGC) yang tidak digunakan merupakan perkembangan positif.

 

"Walaupun pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz dijangka berlaku secara beransur-ansur, kami masih melihat sentimen terhadap MISC kekal positif," katanya dalam nota penyelidikan.

 

UOBKH berkata, AET kini mengendalikan armada sebanyak 66 kapal dengan gabungan pendapatan EBITDA daripada kontrak terjamin dan pasaran spot masing-masing sebanyak 65% dan 35% pada 2025, berbanding 67% dan 33% pada tahun sebelumnya.

 

AET Berkongsi Sasaran Strategik MISC

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pendapatan daripada kapal tangki ulang-alik berteknologi Dynamic Positioning Shuttle Tankers (DPST) terjejas akibat lebih banyak kapal menjalani penyelenggaraan berkala, prestasi operasi sebenar bertambah baik apabila hari tidak beroperasi berjaya dikurangkan selain mendapat manfaat daripada pelarasan kadar sewaan tahunan.

 

Pada masa sama, AET sedang membina 10 kapal baharu termasuk dua kapal sewaan masuk yang dijangka meningkatkan bahagian kontrak sewaan jangka panjang kepada 70% daripada jumlah hari operasi kapal.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira 25% kontrak mempunyai kadar minimum terjamin, namun masih memberi peluang kepada syarikat menikmati pulangan lebih tinggi ketika keadaan pasaran menggalakkan.

 

Menurut UOBKH Research, AET turut berkongsi sasaran strategik MISC untuk meningkatkan aliran tunai operasi sebanyak 50% menjelang 2030 berbanding paras asas 2022, dengan separuh daripada pertumbuhan itu dijangka disumbangkan oleh perniagaan tenaga baharu. Setakat 2025, EBITDA AET telah meningkat 25% berbanding 2022.

 

Dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan, AET sedang menilai peluang dalam tenaga boleh diperbaharui termasuk projek tenaga angin luar pesisir, penyelesaian waste-to-value serta pembangunan bahan api alternatif.

 

Syarikat itu juga telah menempah kapal DPST hibrid-elektrik dwi-bahan api pertama yang bersedia menggunakan etanol serta menaik taraf sebuah kapal sokongan operasi lightering kepada sistem hibrid bateri menerusi kerjasama dengan Fleetzero.

 

Bagaimanapun, UOBKH Research mengingatkan bahawa sasaran pertumbuhan itu masih berdepan cabaran memandangkan tempoh pelaksanaannya agak singkat. - DagangNews.com