KUALA LUMPUR 30 Jun – Cypark Resources Bhd optimis meneruskan momentum pertumbuhan pada tahun kewangan 2027 (FY2027) disokong aliran pendapatan berulang yang semakin kukuh serta buku tempahan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM2.7 bilion.
Kumpulan itu berkata, prospek berkenaan turut diperkukuh oleh peluang tender yang masih aktif serta sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan projek sisa kepada tenaga (WtE) yang memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan.
Cypark akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan beberapa projek utama termasuk Projek Solar Terapung Hibrid Hidro Kenyir dan SMART WtE Fasa 2, di samping terus mendapatkan kontrak baharu, meningkatkan kecekapan kos serta memperkukuh kedudukan kewangannya.
Lembaga pengarah berkata, kecuali berlaku keadaan luar jangka, pihaknya kekal optimis terhadap prospek pemulihan kumpulan yang akan dipacu oleh peningkatan pendapatan berulang, sumbangan lebih besar daripada projek EPCC serta skala operasi yang semakin berkembang.
Menurut Cypark, momentum pertumbuhan itu turut disokong prestasi operasi yang semakin baik apabila aliran tunai daripada aktiviti operasi meningkat kepada RM128.77 juta bagi FY2026 berbanding RM70.23 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan keupayaan perniagaan teras menjana tunai yang lebih kukuh.
“Segmen RE terus menjadi penyumbang utama apabila merekodkan hasil RM31.3 juta pada suku keempat berakhir 30 April 2026, meningkat 4.7% daripada RM29.9 juta setahun lalu.
“Peningkatan itu didorong oleh pengeluaran elektrik yang lebih tinggi daripada loji Solar Skala Besar 3 (LSS3) di Merchang susulan peluasan kapasiti serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pengoptimuman operasi.
“Aset solar di bawah skim Feed-in Approval Holder (FiAH) turut mencatatkan prestasi lebih baik hasil penambahbaikan operasi,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada masa sama, segmen sisa kitaran dan WtE mencatat pertumbuhan hasil yang memberangsangkan apabila hampir berganda kepada RM16.4 juta berbanding RM8.6 juta sebelum ini, disokong peningkatan penjanaan elektrik, kadar bayaran pelupusan yang disemak semula serta pertambahan jumlah sisa yang diproses.
Bagi keseluruhan FY2026, hasil kumpulan meningkat 13.5% kepada RM179.18 juta berbanding RM157.82 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan yang terus berkembang terhadap perniagaan tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa.
Bagaimanapun, kumpulan masih berdepan tekanan terhadap keuntungan apabila mencatat kerugian bersih RM16.83 juta bagi suku keempat FY2026 berbanding keuntungan bersih RM993,000 pada tempoh sama tahun lalu, meskipun hasil melonjak 151.8% kepada RM48.11 juta daripada RM19.11 juta.
Prestasi itu dipengaruhi peningkatan kos pembiayaan kepada RM15.59 juta berbanding RM10.65 juta selain perbelanjaan pentadbiran yang meningkat kepada RM8 juta daripada RM6.17 juta serta caj susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi susulan peluasan aset tenaga boleh diperbaharui.
Segmen tenaga boleh diperbaharui turut merekodkan kerugian sebelum cukai RM7.4 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM32.3 juta setahun lalu. Namun, keputusan tahun sebelumnya telah disokong keuntungan luar biasa menerusi pembalikan ganti rugi tertentu berjumlah RM29.6 juta.
Tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja itu, segmen berkenaan sebenarnya mencatat keuntungan sebelum cukai asas sebanyak RM2.7 juta pada suku keempat FY2025 berbanding kerugian RM7.4 juta pada suku semasa, yang sebahagian besarnya berpunca daripada peningkatan kos pembiayaan, kos pentadbiran berkaitan tenaga kerja serta caj susut nilai yang lebih tinggi.
Bagi tahun kewangan penuh FY2026, kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM67.94 juta berbanding RM6.04 juta pada FY2025, manakala tunai dan kesetaraan tunai berkurangan kepada RM33.58 juta selepas kumpulan menggunakan RM210.06 juta bagi aktiviti pembiayaan, terutamanya untuk penebusan sukuk. - DagangNews.com








