MVV City tidak terjejas situasi politik Negeri Sembilan, MBSB Research kekal saranan "Beli" Matrix Concepts | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MVV City tidak terjejas situasi politik Negeri Sembilan, MBSB Research kekal saranan "Beli" Matrix Concepts

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jun - Prospek pembangunan MVV City oleh Matrix Concepts  Holdings Berhad dijangka kekal berada pada landasan positif meskipun berdepan situasi semasa di Negeri Sembilan, memandangkan projek itu disokong oleh permintaan jangka panjang yang kukuh daripada sektor perindustrian dan logistik, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan MVV City mempunyai asas yang kukuh kerana permintaan terhadap kawasan perindustrian dan hab logistik dijangka kekal mampan sejajar dengan pertumbuhan aktiviti ekonomi serta pelaburan di koridor tersebut.

 

Selain itu katanya, Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 turut diperkukuh menerusi komitmen pelaburan daripada beberapa pemaju utama termasuk Sime Darby Property dan Eco World Development Group, sekali gus menyokong kesinambungan pembangunan kawasan itu dalam tempoh jangka panjang.

 

"Pelaburan dan komitmen modal yang telah diumumkan oleh pemaju-pemaju utama memberi keyakinan bahawa pembangunan MVV 2.0 akan terus berkembang mengikut perancangan, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelaburan industri dan logistik," katanya.

 

Negeri Sembilan akan mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 1 Ogos ini bagi memilih pentadbiran baharu. MVV City ialah projek perbandaran pintar bersepadu seluas 8,796 ekar di Negeri Sembilan, yang membentuk teras pembangunan koridor ekonomi Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

 

Kepentingannya terletak pada peranannya sebagai zon transformasi ekonomi baharu yang menyerap limpahan pembangunan dari Lembah Klang serta menarik pelaburan bernilai tinggi ke selatan Greater Kuala Lumpur. [1, 2, 3, 4]

 

MBSB Research berkata Matrix Concepts mempunyai rekod daya tahan yang baik apabila berjaya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaannya walaupun berlaku perubahan pentadbiran negeri sebelum ini.

 

Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan saranan "BELI" dan harga sasaran RM1.55, meskipun saham syarikat itu baru-baru ini didagangkan pada paras terendah dalam tempoh dua tahun.

 

"Kelemahan prestasi yang dijangka berlaku pada FY26 juga dilihat bersifat sementara sebelum syarikat kembali mencatat pertumbuhan lebih baik dari segi jualan dan pendapatan pada FY27," katanya.

 

Dividen dan Pemulihan Margin

Selain potensi kenaikan harga saham, syarikat itu juga dijangka menawarkan hasil dividen sekitar 6.0% bagi FY27, menjadikan profil pulangannya lebih menarik.

 

MBSB Research mengunjurkan Matrix Concepts merekodkan peningkatan margin keuntungan kasar kepada melebihi 40% pada FY27, berbanding sekitar 39% pada FY26.

 

Pemulihan margin itu akan dipacu oleh sumbangan projek yang menawarkan margin lebih tinggi, khususnya pembangunan perindustrian di MVV City.

 

Pada masa sama, syarikat turut menyasarkan jualan baharu sebanyak RM1.8 bilion bagi FY27, meningkat daripada RM1.5 bilion yang dicapai pada FY26.

 

Sasaran itu disokong oleh permintaan berterusan terhadap projek kediaman di Bandar Sri Sendayan, jualan tanah perindustrian serta pelancaran projek Levia Residence di Puchong. - DagangNews.com