Satu pertiga PKS berdepan pelbagai tekanan kos operasi – Tinjauan Perniagaan UOB 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Satu pertiga PKS berdepan pelbagai tekanan kos operasi – Tinjauan Perniagaan UOB 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Jun — Peningkatan secara berterusan kos operasi, gaji pekerja dan kadar faedah pembiayaan terus menjadi ancaman terbesar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

 

Menurut kajian Tinjauan Prospek Perniagaan UOB 2026, satu pertiga daripada perusahaan itu mengakui tekanan kos masih menjejaskan prestasi mereka walaupun prospek perniagaan bagi 2026 kekal positif.

 

Situasi itu memaksa lebih banyak syarikat PKS perlu berusaha memperketat kawalan perbelanjaan harian bagi mengekalkan daya saing semasa dalam persekitaran ekonomi yang semakin terus mencabar.

 

"Sekitar 77% PKS masih optimis terhadap prestasi perniagaan pada 2027, namun tahap keyakinan adalah sederhana dalam kalangan perusahaan berskala kecil yang kedudukan kewangan kurang kukuh," katanya.

 

Kajian itu mendapati hampir 30% PKS masih bergelut dengan peningkatan pelbagai kos, dan mendorong syarikat menilai semula strategi serta keutamaan pelaburan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

 

UOB berkata, tekanan berpanjangan mengubah fokus operasi syarikat, dengan pengurusan tenaga kini muncul antara isu utama dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan perbelanjaan.

 

PKS_DagangNews2026

 

Kira-kira tiga daripada empat PKS pula menganggap isu itu sebagai aspek penting operasi perniagaan, manakala angka tersebut meningkat kepada 84% dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan industri.

 

"Antara keutamaan utama syarikat ialah mengurangkan penggunaan tenaga 48%, serta memastikan bekalan tenaga stabil sebanyak 40%, mencerminkan usaha syarikat mengawal kos bagi jangka panjang," ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, PKS terus berdepan cabaran peningkatan kos berkaitan tenaga dan bahan api, sekali gus menjadikan isu pengurusan bukan lagi satu pilihan.

 

Beliau berkata, perusahaan bersaiz sederhana ada kemampuan kewangan lebih baik melakukan inisiatif kecekapan tenaga, manakala bagi yang kecil masih memerlukan sokongan bagi mengatasi kekangan modal.

 

Kajian itu turut menunjukkan penggunaan teknologi penjimatan kos menyaksikan dua daripada lima syarikat memasang sistem solar dan lampu LED cekap tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik.

 

"Kami mendapati, mereka berusaha menurunkan kos operasi semasa, di samping meningkatkan minat terhadap rumusan digital yang mampu mengoptimumkan penggunaan tenaga harian," jelas Wei Wei lagi.

 

Menurut penyelidikan UOB itu, dapatan kajian tersebut membuktikan PKS di Malaysia masih mempunyai daya tahan yang baik walaupun mereka perlu berdepan dengan banyak tekanan kos secara berterusan.

 

Banyak syarikat mengimbangi sasaran pertumbuhan perniagaan bersama strategi mengawal kos dan memperkukuh kemampanan operasi dalam persekitaran ekonomi semakin mencabar. - DagangNews.com