KUALA LUMPUR 26 Feb – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malakoff Corporation Bhd.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 1 Mac 2026, susulan peletakan jawatan penyandangnya, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh pada tarikh sama.
Jelasnya, Che Khalib, 61, yang pernah menjadi Presiden dan CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari 2004 hingga 2012, melepaskan jawatan berkenaan untuk memberi tumpuan kepada kepentingan lain.
Wan Zulkiflee, 66, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Adelaide, Australia serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Britain.
"Beliau pada ketika ini turut merupakan Pengerusi Nestle (Malaysia) Berhad, Gas Malaysia Berhad dan DRB-HICOM Berhad masing-masingnya sejak 1 Mei 2024, Julai 2021 dan Ogos 2020," kata Malakoff.
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Malaysia Airlines Berhad dan Malaysia Aviation Group Berhad, serta menganggotai lembaga pengarah Exxon Mobil Corporation.
Selain itu, Wan Zulkiflee pernah terlibat dalam pelbagai institusi termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan World Economic Forum (WEF).
Di samping itu juga jelas Malakoff, beliau berpengalaman sebagai anggota majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) serta Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Lepasan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dilahirkan di Pulau Pinang itu, pernah menjadi Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan anggota Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
Wan Zulkiflee tambah Malakoff, masih lagi merupakan Felo Kehormat Institution of Chemical Engineers, United Kingdom dan Felo di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM). - DagangNews.com








