KUALA LUMPUR 24 Jun – Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin terus diberi kepercayaan sebagai anggota dalam Lembaga Pengarah HI Mobility Berhad.
Pelantikan semula Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif syarikat itu menerusi Usul Biasa 3 mendapat sokongan penuh kesemua 57 pemegang saham apabila diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, resolusi berkenaan memperoleh sokongan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di St Giles Boulevard Kuala Lumpur hari ini.
"Raja Zaharaton dilantik sebagai Pengerusi HI Mobility pada 2024 dan memainkan peranan penting membawa syarikat berjaya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2025," jelasnya.
Beliau berpengalaman luas lebih tiga dekad dalam sektor perkhidmatan awam, sebelum menamatkan kerjaya pegawai kerajaan sebagai Ketua Pengarah EPU di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2005.
Selain HI Mobility, beliau turut memegang pelbagai jawatan korporat penting termasuk Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif di Areca Capital Sdn. Bhd. serta pengarah di Taliworks Corporation Berhad.
Di samping itu, Raja Zaharaton juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Global Maritime Ventures Berhad dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan di Media Prima Berhad serta Yinson Holdings Berhad.
"Dari segi akademik, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan memiliki Ijazah Sarjana Ekonomi dari University of Leuven, Belgium," tambah kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan sama, HI Mobility memaklumkan kesemua lapan usul dibentangkan pada AGM turut diluluskan menerusi pengundian yang disahkan SKY Corporate Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas.
Pemegang saham turut meluluskan pembayaran yuran kepada pengarah bukan eksekutif bagi tempoh mulai 25 Jun 2026 sehingga AGM akan datang, selain elaun kehadiran setiap mesyuarat sebanyak RM1,000.
Syarikat juga memperoleh kelulusan untuk melantik semula BDO PLT sebagai juruaudit bagi tahun kewangan berikutnya serta memberi kuasa kepada lembaga pengarah untuk menentukan imbuhan juruaudit.
Pemegang saham turut meluluskan usul peruntukan saham baharu, mandat urus niaga pihak berkaitan yang berulang serta pembelian balik saham sehingga 10% daripada jumlah terbitan. - DagangNews.com








