KUALA LUMPUR 27 Jan - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat air di Johor, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan menipu syarikat tersebut berhubung program kebajikan yang tidak wujud melibatkan jumlah RM3.38 juta dua tahun lalu.
Muhamad Faizal Aliar, 39, yang hadir di mahkamah menggunakan kerusi roda, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Dia didakwa menipu Ranhill SAJ Sdn Bhd dengan memperdayakan syarikat itu untuk mempercayai kewujudan dua program iaitu 'Program Imarah Ramadhan 2023' dan 'Program Prihatin Komuniti Madani 2023', seperti yang dinyatakan dalam dua surat bertarikh 1 dan 4 April 2023.
"Surat berkenaan memohon sumbangan untuk program-program tersebut, yang sebenarnya tidak pernah dilaksanakan.
"Tindakan tertuduh menyebabkan Ranhill SAJ memindahkan sebanyak RM82,500 dan RM3.3 juta ke dalam akaun bank Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia," demikian menurut laporan The Malaysian Reserve.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Menara Felda Platinum Park di sini pada 13 dan 14 April 2023.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir menawarkan jaminan RM200,000 untuk kedua-dua pertuduhan, mengambil kira jumlah wang yang terlibat.
Namun, peguam S. Preakas yang mewakili Muhamad Faizal memohon pengurangan jaminan kepada RM50,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mengalami kecederaan tulang belakang yang memerlukan rawatan hospital berterusan.
"Anak guam saya mempunyai empat orang anak yang bersekolah, termasuk dua anak yang memerlukan perhatian khas berumur lapan dan tujuh tahun," kata peguam tersebut.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac 2025 untuk sebutan kes. - DagangNews.com








