KUALA LUMPUR 14 Julai - Syarikat teknologi tenaga, Baker Hughes menjalinkan kerjasama dengan PETRONAS bagi meneroka inisiatif perniagaan yang berpotensi menyokong perkembangan dan peralihan tenaga di Asia.
Jalinan kerjasama itu merupakan asas kepada inisiatif kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan selain meneroka kemungkinan pelaksanaan pelbagai rumusan teknologi termasuk pengembangan perkhidmatan gas asli cecair (LNG) serta program latihan serta pembangunan bakat rentas sempadan untuk memperkukuh keupayaan operasi lapangan tempatan
Selain itu ia juga membentuk rumusan penerokaan & pengeluaran, bahan kimia dan aset matang selain rumusan digital, termasuk Kecerdasan Buatan (AI) serta rumusan tenaga mampan termasuk penangkapan, penggunaan semula dan penyimpanan karbon (CCUS), serta pelincir dan biofuel untuk rantaian bekalan peralatan turbin.
Bagi menyokong inisiatif itu, Baker Hughes mengumumkan rancangan untuk memperluaskan kehadiran perkhidmatannya yang sedia ada di Malaysia dengan membangunkan sebuah kemudahan perkhidmatan pembaikan modul turbin gas aeroderivatif yang lengkap, merangkumi keupayaan pemasangan dan pengujian.
"Dengan lebih daripada 600 turbin gas yang telah dipasang dan pertumbuhan yang dijangka berterusan sejajar dengan pengembangan tenaga, penambahan keupayaan perkhidmatan ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di seluruh rantau ini, dengan matlamat mempercepatkan masa pusing ganti perkhidmatan dan memastikan kebolehpercayaan serta ketersediaan bertaraf dunia terus dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Baker Hughes, Lorenzo Simonelli berkata, adalah penting untuk mereka berkembang seiring dengan pelanggan termasuk PETRONAS dan berusaha mencapai matlamat pembangunan tenaga mampan yang boleh dipercayai dan selamat.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan PETRONAS, serta rakan-rakan tempatan yang lain, bagi merealisasikan usaha penyetempatan tambahan ini bagi memastikan tenaga dapat disediakan pada masa kini dan juga pada masa hadapan," katanya.
Naib Presiden Kanan Projek, Teknologi & Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti & Alam Sekitar (PT&HSSE) PETRONAS, Ir Ts Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, kerjasama strategik yang diperluas dengan Baker Hughes berpotensi memacu kecemerlangan dalam pelaksanaan projek, penyahkarbonan, daya tahan rantaian bekalan, dan penerapan teknologi.
Beliau berkata, ia melambangkan perkara yang boleh dicapai apabila dua peneraju industri bergabung untuk memupuk ekosistem inovasi dan membentuk masa depan tenaga.
"Selain itu, penubuhan kemudahan aeroderivatif yang dipertingkatkan di sini merupakan perkembangan positif ke arah usaha tenaga bersih di rantau ini, sekali gus menyerlahkan keperluan kerjasama kukuh bagi menjayakan peralihan tenaga Asia," katanya.- DagangNews.com








