KUALA LUMPUR 29 Ogos – Axiata Group Berhad mencatatkan kerugian bersih RM66 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), berbanding keuntungan RM4.3 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Penganalisis menyifatkan keadaan lemah tersebut kebanyakannya dipengaruhi oleh kemerosotan susut nilai terhadap operasi infrastrukturnya di Indonesia, iaitu Linknet, yang berjumlah RM329.6 juta.
Meskipun hasil kumpulan masih dalam jangkaan, prestasi teras adalah mengecewakan, dengan keuntungan teras pada 1HFY25 hanya mencatat RM206 juta, jauh lebih rendah berbanding ramalan pasaran sendiri.
Public Investment Bank (PublicInvest) menurunkan unjuran pendapatan Axiata bagi FY25 hingga FY27 sebanyak purata 7% selepas prestasi teras lemah, terutama sumbangan rendah segmen infrastruktur.
Firma itu merujuk penurunan hasil Axiata pada 2QFY25 sebanyak 10.6% tahun ke tahun (YoY) berikutan penyusutan hasil dari Bangladesh serta perniagaan infrastrukturnya seperti Edotco dan Linknet.
"Bagaimanapun, tumpuan kini terarah kepada kemungkinan penjualan kepentingan 63% dalam Edotco yang berpotensi menjana sehingga RM8 bilion berdasarkan penilaian," kata firma itu dalam notanya.
PublicInvest menyemak harga sasaran (TP) kepada RM2.40 berbanding RM2.30 sebelum ini, tetapi kekal saranan 'neutral', dengan menyatakan harga semasa mencerminkan nilai potensi pelupusan aset.
Artikel berkaitan: Axiata catat keuntungan RM431 juta pada separuh pertama 2025, isytihar dividen interim 5 sen sesaham
Sementara itu, MBSB Research lebih berhati-hati dengan mengekalkan saranan 'jual', serta menyemak turun TP kepada RM1.88, yang mencerminkan kebimbangan terhadap prestasi XLSmart di Indonesia.
Entiti baharu tersebut hasil penggabungan dengan XL Axiata, meskipun keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 77.9% YoY kepada RM153 juta setelah pelarasan luar biasa.
"Prestasi XLSmart masih dibelenggu kos integrasi dan saingan tinggi pasaran Indonesia yang boleh menjejaskan potensi sinergi jangka panjang termasuk susut nilai Linknet," kata firma berkenaan.
Bagaimanapun, syarikat telekomunikasi digital Axiata seperti Robi, Dialog dan Smart menunjukkan pemulihan ketara hasil kawalan ketat kos serta pertumbuhan dalam segmen enterprise dan prabayar.
Dalam analisis berasingan, CGS International (CGSI) menyatakan, prestasi teras Axiata sebenarnya berada di landasan munasabah, walaupun untung dilaras 1HFY25 susut 26.1% YoY kepada RM303 juta.
Kata firma penyelidikan berkenaan, jumlah tersebut mewakili 53% daripada unjurannya dan 49% daripada konsensus Bloomberg, sekali gus masih lagi menepati jangkaan untuk separuh tahun 2025.
"Kami juga menekankan pengurangan ketara dalam hutang bersih kumpulan sebanyak 48% suku ke suku kepada RM14.5 bilion, ekoran penyusunan semula XL Axiata dan penjualan aset di Myanmar," katanya.
CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP tidak berubah RM3.40, dan menyatakan pemacuan nilai aset seperti Edotco dan Linknet boleh menjadi pemangkin utama kepada usaha pemulihan Axiata.
Bagaimanapun katanya, risiko utama kumpulan itu adalah kekal termasuk kegagalan penjualan aset serta tekanan makroekonomi atau persaingan harga yang lebih sengit di pasaran operasi utama.
Secara keseluruhan, Axiata kini berada dalam fasa transisi yang mencabar dengan pelaksanaan strategi pelupusan aset serta pengukuhan struktur modal dan prestasi kewangan bercampur-campur.
Ketidaktentuan makro di beberapa pasaran utama menambah tekanan, namun potensi penjualan Edotco kekal sebagai pemangkin yang boleh mencetuskan lonjakan kepada penilaian syarikat. - DagangNews.com








