Axiata catat keuntungan RM431 juta pada separuh pertama 2025, isytihar dividen interim 5 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata catat keuntungan RM431 juta pada separuh pertama 2025, isytihar dividen interim 5 sen sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos Axiata Group Berhad  merekodkan keuntungan sebanyak RM431 juta pada separuh pertama 2025, didorong pengurusan kos yang berdisiplin, pengurangan hutang dan sewaan yang ketara serta pemulihan menyeluruh aset pasaran sempadan.

 

Keuntungan Bersih Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) pula melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY) kepada RM430.7 juta.

 

Kejayaan itu adalah hasil daripada strategi perniagaan yang berkesan, kecekapan kos dan pemulihan di pasaran frontier, termasuk syarikat milik bersama seperti CelcomDigi dan XLSMART yang menyumbang RM170.8 juta. 

 

Keuntungan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun 8.5% berdasarkan angka dilaporkan, namun meningkat 2.3% selepas menolak kesan turun naik mata wang manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat 8.4%. 

 

PATAMI asas juga meningkat 39% kepada RM203.7 juta hasil daripada EBIT lebih tinggi dan kos kewangan bersih yang lebih rendah.

 

Dalam tempoh ini, Axiata berjaya mengurangkan hutangnya sebanyak RM5.1 bilion, menurunkan nisbah Hutang Bersih/EBITDA kepada 2.76x walaupun EBITDA tahunan berkurang. Aliran tunai turut meningkat kepada RM868.7 juta hasil daripada perbelanjaan modal yang lebih rendah sebanyak RM644.4 juta.

 

Sektor digital dan telco terus mencatat prestasi positif, dengan CelcomDigi merekodkan pertumbuhan hasil 1.8% YTD, Robi PATAMI meningkat 78.8% kepada BDT3.8 bilion, Dialog menunjukkan pertumbuhan EBIT dan PATAMI melebihi 100%, manakala Smart mencatat pertumbuhan hasil 3% YTD dengan ARPU meningkat 12.2%. 

 

Bagi infrastruktur, EDOTCO merekodkan PATAMI meningkat lebih 100% manakala Linknet FibreCo mencatat peningkatan EBITDA 10% walaupun hasil keseluruhan menurun 14%.

 

Dalam segmen perniagaan digital, Boost Bank terus meningkatkan portfolio pinjaman manakala ADA mencatat EBITDA kukuh tetapi PATAMI menurun 16% akibat kerugian pertukaran asing.

 

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi kukuh ini mencerminkan pelaksanaan berdisiplin dan kejayaan strategi Axiata. 

 

“Penerimaan dividen RM1 bilion setakat ini membuktikan prestasi kewangan yang kuat dan komitmen terhadap pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kumpulan juga mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 5 sen sesaham biasa, sebagai pengukuhan komitmen Axiata terhadap pulangan pemegang saham. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Vivek Sood pula berkata, strategi penyusunan semula portfolio dan fokus terhadap kecekapan operasi membolehkan Axiata menekankan konvergensi dan meningkatkan nilai aset digital serta infrastruktur.

 

Axiata merupakan kumpulan telekomunikasi bersepadu terkemuka di Asia Tenggara dan Selatan, dengan kepentingan kawalan di CelcomDigi dan XLSMART serta syarikat telekomunikasi lain di Sri Lanka (Dialog), Bangladesh (Robi) dan Kemboja (Smart). 

 

Kumpulan juga mempunyai perniagaan digital melalui Boost dan ADA serta sokongan infrastruktur melalui Linknet dan EDOTCO. - DagangNews.com