KUALA LUMPUR 5 Nov - AWC Berhad dijangka mengalami pencairan saham kira-kira 20% sekiranya semua waran dan skim opsyen saham pekerja (ESOS) dilaksanakan sepenuhnya, menurut Malacca Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, walaupun langkah ini berpotensi mengurangkan pegangan sedia ada, ia dilihat mampu mengukuhkan kedudukan modal kerja dan meningkatkan fleksibiliti kewangan.
Selain itu cadangan korporat kumpulan berkenaan merangkumi terbitan waran percuma, dan penubuhan ESOS sehingga 15% daripada modal saham terbitan, diyakini menyokong pertumbuhan masa depan.
"Jika semua waran dilaksanakan pada harga 93 sen sesaham, iaitu 23.9% premium berbanding purata harga dagangan lima hari, AWC mampu menjana hasil besar," kata Malacca Securities dalam notanya.
Perkembangan itu jelasnya, mengambil kira harga 75 sen pada dagangan sehingga 31 Oktober 2025 dengan dana ini akan digunakan bagi modal kerja serta pembiayaan inisiatif pertumbuhan baharu.
Di bawah cadangan waran itu kata firma tersebut, satu waran diterbitkan bagi setiap empat saham sedia ada, dengan tempoh sah lima tahun dengan kebenaran pembelian semula saham sebanyak 10%.
Artikel berkaitan: AWC cadang terbit waran bonus berpotensi jana hasil kasar sehingga RM78.9 juta
Malacca Securities menilai langkah ini sebagai neutral hingga sedikit positif dalam jangka pendek, memandangkan ia membantu memperkukuh aliran tunai meskipun wujud risiko pencairan pegangan.
"Kami turut mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran lebih rendah iaitu 66 sen daripada 80 sen, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 10 kali," tambah firma berkenaan lagi.
Ia juga menilai unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 penuh dicairkan sebanyak 6.58 sen, serta mengambil kira peningkatan jumlah saham daripada 339.4 juta kepada 427.6 juta unit. - DagangNews.com








