AWC cadang terbit waran bonus berpotensi jana hasil kasar sehingga RM78.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC cadang terbit waran bonus berpotensi jana hasil kasar sehingga RM78.9 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 NovAWC Berhad mencadangkan terbitan bonus waran kepada para pemegang sahamnya, berdasarkan satu waran percuma bagi setiap empat saham biasa yang dipegang dalam syarikat pengurusan kemudahan bangunan itu.

 

AWC dalam kenyataan semalam berkata, cadangan itu melibatkan pengeluaran sehingga 84.84 juta waran dengan tempoh matang selama lima tahun.

 

Ketika ini, AWC mempunyai 339.36 juta saham terbitan dan tiada waran tertunggak.

 

AWC menjelaskan, waran bonus tersebut berpotensi menjana hasil kasar sehingga RM78.9 juta sekiranya semua waran dilaksanakan sepenuhnya pada harga pelaksanaan andaian 93 sen sesaham, iaitu premium 23.9% berbanding purata harga dagangan berwajaran volum lima hari sehingga 31 Oktober sebanyak 75.08 sen.

 

Katanya, hasil daripada pelaksanaan waran itu akan digunakan bagi menampung keperluan modal kerja syarikat, manakala harga pelaksanaan sebenar akan ditentukan kemudian.

 


Selain itu, AWC turut mencadangkan penubuhan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) sehingga 15% daripada jumlah saham terbitan syarikat.

 


Kedua-dua cadangan iaitu waran bonus dan ESOS, akan memerlukan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan kelak.

 


Syarikat itu juga bercadang mendapatkan kelulusan bagi kuasa pembelian balik saham sehingga 10% daripada modal saham terbitan semasa.

 


Pada penutupan dagangan Isnin, saham AWC tidak berubah pada paras 75.5 sen, menjadikan nilai pasaran syarikat dianggarkan sekitar RM258 juta. - DagangNews.com