KUALA LUMPUR 23 Jun — Kejatuhan berterusan Astro Malaysia Holdings Berhad sehingga harga sahamnya susut ke paras terendah baharu 6 sen dilihat mencerminkan cabaran serius dihadapi syarikat berkenaan.
Menurut analisis MBSB Research, perkembangan negatif tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan kewangan kumpulan berkenaan dalam meneruskan operasi secara bersendirian.
Malah, kehilangan hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026, penamatan siaran saluran RTM di platform Astro bermula 1 Julai 2026 serta tekanan kos operasi tinggi terus memburukkan prospek kumpulan.
"Justeru, kami menilai Astro berpotensi jadi sasaran penggabungan dan pengambilalihan (M&A) kerana penyusutan teruk nilai pasarannya kepada RM300 juta berbanding RM18 bilion sebelum ini," katanya.
Tambah MBSB Research, walaupun berdepan persekitaran sengit, Astro masih memiliki aset strategik menerusi kandungan asli dan harta intelek serta mencatat keuntungan RM1.6 juta bagi 1QFY27.
Kumpulan itu ujarnya, ada pegangan kukuh dalam penghasilan kandungan dan harta intelek di bawah Akta Hak Cipta 1987, sekali gus menjadikan syarikat tersebut sebagai sasaran M&A yang berpotensi.

Artikel berkaitan: Pendapatan langganan susut, untung Astro menjunam 88% pada suku pertama 2026
Spekulasi lama mengenai kemungkinan penggabungan Astro dan Maxis Berhad dilihat semakin pudar berikutan tiada pemangkin strategik selain tumpuan Maxis lebih kepada pengembangan segmen industri.
"Sebaliknya, Telekom Malaysia Berhad (TM) dilihat sebagai pihak sesuai bekerjasama atau mengambil alih kerana sinergi kukuh segmen jalur lebar tetap dan penawaran kandungan," kata MBSB Research.
Ujar firma penyelidikan tersebut, usaha penggabungan kandungan Astro ke dalam ekosistem Unifi TV sebenarnya berpotensi memperkukuhkan lagi tawaran pukal TM kepada pelanggan untuk jangka panjang.
Bagaimanapun, ia berpandangan minat TM terhadap aktiviti M&A ketika ini agak terhad memandangkan syarikat tersebut masih memberi tumpuan yang lebih kepada langkah ketat perbelanjaan modal (capex).
Antaranya jelas MBSB Research, bagi kerja-kerja perluasan rangkaian gentian optik, pembangunan infrastruktur sokongan 5G serta komitmen pembayaran dividen lebih tinggi kepada pemegang saham.
"Secara keseluruhan, kami mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor telekomunikasi dengan jangkaan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan jalur lebar dan kandungan digital," tambahnya.
Kedua-dua perkara berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, dinilai akan terus menyokong pertumbuhan industri secara lebih kukuh dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com








