KUALA LUMPUR 23 Jun – Anak syarikat Mulpha International Bhd di Australia berdepan tindakan undang-undang berkumpulan di Mahkamah Australia berhubung dakwaan isu pembinaan dan pembangunan projek kediaman di New South Wales.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penyataan tuntutan yang dipinda telah difailkan pada 5 Jun 2026, berhubung prosiding yang pertama kali difailkan pada Disember 2024 terhadap anak syarikat milik penuhnya, Mulpha Norwest Pty Ltd.
Kes berkenaan turut menamakan pihak berkuasa tempatan, Penrith City Council yang sebelum ini meluluskan pembangunan serta pecahan lot tanah di kawasan Mulgoa Rise.
Saman itu difailkan oleh seorang individu, Raymond Joseph William King yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri serta sekumpulan pemilik tanah semasa dan bekas pemilik di kawasan terbabit.
Dakwaan Kecacatan Struktur, Tuntutan Kerugian Hartanah
King, yang juga pemilik sebuah hartanah kediaman di Glenmore Park, New South Wales mendakwa terdapat bahagian dalam pembangunan tersebut yang tidak sesuai untuk pembinaan kediaman standard.
Beliau mendakwa keadaan itu telah menyebabkan isu struktur pada bangunan yang memerlukan kerja-kerja baik pulih.
Selain itu, plaintif turut mendakwa keadaan tersebut memerlukan kerja-kerja pemulihan termasuk pembaikan, perobohan dan pembinaan semula bangunan di kawasan berkenaan.
Mereka juga mendakwa berlakunya kerugian kewangan termasuk kos pembaikan serta penurunan nilai hartanah akibat isu yang timbul daripada projek tersebut.
Mulpha Nafi Dakwaan, Kes Dijangka Dibicarakan 2027
Tuntutan berkenaan turut dikaitkan dengan dakwaan kecuaian serta salah nyata atau kenyataan mengelirukan dalam proses pembangunan projek.
Bagaimanapun, Mulpha menegaskan jumlah ganti rugi yang dituntut tidak dinyatakan secara khusus dalam dokumen mahkamah setakat ini.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa Mulpha International Bhd dan anak syarikatnya menafikan semua dakwaan tersebut dan akan mempertahankan kes berkenaan melalui proses mahkamah.
Menurutnya lagi, Mulpha Norwest Pty Ltd bukan penyumbang utama kepada pendapatan atau aset kumpulan, namun sebarang impak kewangan masih belum dapat dipastikan dan berpotensi menjadi material bergantung kepada keputusan kes.
Walaupun begitu, kumpulan itu menjelaskan prosiding tersebut tidak dijangka memberi kesan kepada operasi perniagaan semasa mereka.
Mahkamah turut memaklumkan perbicaraan kes berkenaan dijadualkan berlangsung pada 3 Mei 2027. - DagangNews.com








