Penganalisis: Tekanan inflasi ancam permintaan kenderaan baharu pada separuh kedua 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Tekanan inflasi ancam permintaan kenderaan baharu pada separuh kedua 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JunSektor automotif tempatan terus berdepan tekanan apabila jumlah keseluruhan volum industri (TIV) bagi Mei 2026 merosot dua digit, disebabkan faktor peningkatan inflasi.

 

Penganalisis berkata, situasi dikhuatiri lebih buruk berikutan ketidaktentuan dasar kerajaan yang dijangka terus menjejaskan lagi permintaan pengguna pada tempoh separuh kedua tahun ini (2H26).

 

Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan TIV Mei 2026 susut 12% tahun ke tahun (YoY) kepada 61,250 unit, didorong kebimbangan pengguna terhadap isu rasionalisasi subsidi bahan api.

 

"Prestasi lemah itu sejajar jangkaan, namun kami tetap berhati-hati terhadap prospek permintaan bagi separuh kedua 2026 berikutan tekanan inflasi yang berterusan," kata CGS International (CGSI).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran TIV bagi sepanjang 2026 sebanyak 755,000 unit, yang mewakili penurunan kira-kira 8% berbanding rekod pada tahun sebelumnya.

 

sektor automotif_DagangNews2026

 

Menurutnya, jumlah TIV terkumpul bagi tempoh lima bulan pertama 2026 (5M26) susut kira-kira 1% kepada sebanyak 315,476 unit, dengan kelemahan ketara direkodkan oleh kebanyakan jenama utama.

 

Walaupun separuh kedua kelazimannya lebih kukuh dari segi musim, CGSI menjangkakan permintaan kekal sederhana berikutan tekanan kos sara hidup yang boleh menjejaskan pembelian bersifat budi bicara.

 

"Kami bagaimanapun melihat momentum kenderaan elektrik (EV) adalah kekal positif apabila jualannya menyumbang kira-kira 8% daripada jumlah TIV setakat ini berbanding 5.5% pada tahun lalu," katanya.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan Sime Darby Berhad sebagai saham pilihan utama susulan penilaian menarik serta potensi pertumbuhan dalam pasaran mampu milik.

 

Pemulihan Jualan Pada Separuh Kedua

Sementara itu, RHB Research berpandangan jualan kenderaan di pasaran negara ini dijangka boleh pulih pada separuh kedua 2026 disokong faktor bermusim dan pelancaran beberapa lagi model baharu.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut memberi amaran bahawa tekanan inflasi yang semakin meningkat dikhuatiri boleh terus mengekang perbelanjaan pengguna untuk membeli kenderaan baharu.

 

"Kami kekal berhati-hati memandangkan ketidaktentuan dasar, risiko inflasi dan kitaran penggantian kenderaan semakin perlahan selepas empat tahun mencatatkan rekod TIV yang tinggi," tambahnya.

 

RHB Research berpandangan, kadar inflasi utama dijangka meningkat kepada kira-kira 2.1% pada 2026 berbanding unjuran awal hanya 1.8%, sekali gus berpotensi menjejaskan minat pembelian kenderaan.

 

Dari segi EV pula ujar firma penyelidikan berkenaan, Proton kekal sebagai jenama paling laris pada Mei 2026 dengan 1,779 unit didaftarkan, diikuti BYD sebanyak 925 unit dan Chery sebanyak 541 unit.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan risiko utama ialah tempahan lebih lemah daripada jangkaan dan persaingan harga semakin sengit dalam pasaran. - DagangNews.com