Kelulusan kerajaan penentu perolehan pesawat tempur ringan TUDM dalam RMK13 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelulusan kerajaan penentu perolehan pesawat tempur ringan TUDM dalam RMK13

Perolehan Batch 2 jenis sama seperti pesawat FA-50M memberi banyak kelebihan kepada TUDM selain boleh membangunkan industri pertahanan sokongan dalam negara.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Perolehan pesawat tempur ringan (LCA) Batch 2 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini bergantung sepenuhnya kepada kelulusan kerajaan jika dibuat dalam belanjawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Ini bermakna, TUDM mempunyai tempoh lima tahun tempoh iaitu antara 2026 hingga 2030 untuk melaksanakan perancangan itu.

 

Walaupun program LCA fasa pertama sedang berjalan mengikut jadual, hala tuju fasa kedua masih belum dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

 

Walaupun perkembangan ini menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat komitmen kewangan yang besar, namun aspek pertahanan adalah satu keperluan.

 

Pesawat
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris bersama pesawat FA-50M pertama di Korea Selatan.

 

Sepertimana diketahui, perolehan LCA adalah untuk menggantikan kumpulan 28 buah pesawat Hawk TUDM yang telah diguna sejak 1994. 

 

Bagi TUDM, perolehan Batch 2 LCA bukan sekadar menambah bilangan pesawat baharu, tetapi berkait rapat dengan pelaksanaan keseluruhan pelan transformasi keupayaan udara CAP55.

 

Program tersebut dirangka bagi memastikan TUDM memiliki angkatan yang lebih seimbang, moden dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.

 

Kemasukan 18 pesawat FA-50M fasa pertama sememangnya meningkatkan keupayaan latihan lanjutan dan tempur ringan TUDM.

 

Pesawat

 

Namun, jumlah tersebut dilihat masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan jangka panjang sekiranya TUDM mahu membentuk kekuatan operasi yang lebih mantap.

 

Atas sebab itu, perolehan Batch 2 dianggap sebagai komponen penting dalam pelaksanaan penuh program LCA.

 

Ketika ini, kerajaan sedang menilai sama ada meneruskan perolehan tambahan FA-50M atau memilih platform lain yang dianggap lebih sesuai.

 

Penilaian tersebut melibatkan pelbagai aspek termasuk keperluan operasi, kos pemilikan, logistik, latihan serta pembangunan keupayaan masa depan.

 

Mengikut perancangan, TUDM memerlukan 36 buah pesawat LCA dan ini merupakan hujah kukuh bagi mendapatkan kelulusan perolehan Batch 2.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Ini kerana pelbagai pelaburan infrastruktur dan modal insan sudah dilaksanakan untuk menyokong operasi FA-50M.

 

Pangkalan Udara Kuantan di Pahang misalnya sedang dipersiapkan sebagai pusat operasi utama pesawat tersebut.

 

Juruterbang dan anggota teknikal pula sedang menjalani latihan di Korea Selatan bagi memastikan kesiapsiagaan apabila pesawat mula diterima.

 

Sekiranya kerajaan memilih untuk meneruskan perolehan tambahan FA-50M, ia akan memberikan kelebihan dari sudut keseragaman armada.

 

Kos latihan, penyelenggaraan dan pengurusan alat ganti dapat dikurangkan kerana menggunakan platform yang sama.

 

Pesawat
Juruterbang TUDM semasa mengikuti latihan menerbangkan pesawat FA-50 dengan juruterbang Korea Selatan.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pendekatan ini juga membolehkan TUDM mencapai ekonomi skala dalam pengoperasian aset baharu.

 

Sebaliknya, jika kerajaan memilih platform lain bagi Batch 2, beberapa cabaran baharu mungkin timbul.

 

Antaranya ialah keperluan mewujudkan sistem latihan, logistik dan penyelenggaraan yang berasingan.

 

Keadaan ini berpotensi meningkatkan kos operasi dalam jangka panjang walaupun platform baharu menawarkan kelebihan tertentu.

 

Dari sudut strategik, keputusan mengenai Batch 2 juga akan menentukan kadar pembangunan skuadron tempur ringan TUDM untuk satu hingga dua dekad akan datang.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

 

Bilangan pesawat yang mencukupi penting bagi memastikan latihan juruterbang dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa menjejaskan keperluan operasi.

 

Ia juga membantu meningkatkan tahap kesiagaan angkatan udara dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.

 

Mempunyai lebih banyak pesawat latihan lanjutan menyiapkan TUDM untuk melahirkan lebih ramai juruterbang pesawat tempur yang bersedia mengendalikan pesawat lebih canggih.

 

Ini juga bakal memberi gambaran terhadap kesediaan TUDM untuk memiliki pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) sama ada Gen 4.5 atau Gen 5 yang ditetapkan menjelang tahun 2035.

 

Justeru, fokus utama TUDM ketika ini bukan lagi kepada pemilihan platform semata-mata, tetapi mendapatkan kelulusan kerajaan untuk meneruskan fasa kedua program tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kelulusan itu akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan transformasi keupayaan udara negara serta memastikan pelaburan yang telah dibuat dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Tanpa keputusan yang jelas dalam tempoh RMK13, pembangunan kekuatan LCA TUDM berisiko bergerak lebih perlahan daripada perancangan asal CAP55. - DagangNews.com