TA Securities tetapkan nilai saksama RNG Tech RM0.11, lebih rendah daripada IPO susulan profil risiko lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities tetapkan nilai saksama RNG Tech RM0.11, lebih rendah daripada IPO susulan profil risiko lebih tinggi

Kekuatan utama RNG terletak pada model perniagaan berskala yang bergantung kepada lokasi bertrafik tinggi seperti lapangan terbang - Gambar DagangNews/Kamaliza Kamaruddin
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun – TA Securities menetapkan nilai saksama RNG Tech Bhd hanya pada RM0.11 sesaham, lebih rendah sekitar 15.4% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.13 sesaham bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 9 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2027, berbanding penilaian IPO yang berada pada paras sekitar 16.9 kali PER bagi FY2025.

 

Menurut TA Securities, perbezaan ketara ini mencerminkan pendekatan lebih konservatif terhadap RNG Tech memandangkan saiz permodalan pasaran syarikat yang kecil serta profil risiko yang lebih tinggi berbanding purata syarikat pengguna lain dalam liputan mereka.

 

RNG Tech merupakan pengendali kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia di bawah jenama “Rest N Go” dengan rangkaian 5,611 kerusi urut di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam.

 

Selain pasaran domestik, kumpulan itu turut mengembangkan operasi ke Vietnam dan Filipina melalui model pelesenan dengan rakan kongsi tempatan, membolehkan  ia memperluaskan operasi serantau tanpa keperluan modal yang besar.

 

TA Securities menjelaskan kekuatan utama RNG terletak pada model perniagaan berskala yang bergantung kepada lokasi bertrafik tinggi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) lebuh raya.

 

Bagaimanapun, firma itu menegaskan prestasi syarikat sangat bergantung kepada jumlah trafik pengguna, di mana sebarang kelembapan dalam pergerakan orang ramai boleh memberi kesan terus kepada pendapatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO di Pasaran ACE: Operator mesin kerusi urut layan diri, RNG Tech sasar kumpul 16.4 juta

 

“Selain itu, risiko pertukaran mata wang asing turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian memandangkan operasi RNG turut melibatkan beberapa pasaran luar negara.

 

“Malah, kebergantungan kumpulan kepada pembekal utama, Gintell Group adalah antara risiko operasi utama walaupun syarikat mempunyai sedikit fleksibiliti untuk mendapatkan sumber alternatif,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Dari sudut prestasi kewangan, RNG mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM5.9 juta pada FY2025 berbanding RM11.9 juta pada FY2024, disebabkan peningkatan kos susut nilai dan perbelanjaan pentadbiran.

 

Namun begitu, firma itu menjangkakan pemulihan berperingkat dengan unjuran keuntungan meningkat kepada RM9.1 juta (FY2026), RM9.7 juta (FY2027) dan RM10.3 juta (FY2028), disokong oleh pengembangan rangkaian kerusi urut dan penstabilan kos.

 

TA Securities berkata pertumbuhan tersebut turut disokong oleh pengurangan kos kewangan serta normalisasi kadar cukai efektif sekitar 24 peratus bagi tahun-tahun akan datang.

 

Walaupun prospek pertumbuhan kekal positif, firma itu mengekalkan status “Not Rated” terhadap saham ini memandangkan ketidaktentuan pelaksanaan pelan pengembangan dan risiko operasi yang masih tinggi.

 

Secara keseluruhan, RNG Tech dilihat sebagai syarikat dengan model perniagaan unik dalam sektor perkhidmatan pengguna, namun penilaian semasa menunjukkan wujud jurang ketara antara harga IPO dan nilai saksama yang diunjurkan.

 

Pelabur disaran menilai dengan berhati-hati perbezaan penilaian ini serta mengambil kira bahawa prestasi saham selepas penyenaraian akan banyak dipengaruhi oleh sentimen pasaran dan keberkesanan pengembangan rangkaian syarikat. - DagangNews.com