KUALA LUMPUR 23 Jun - Cadangan pelupusan pegangan dalam Winstar Capital Berhad dijangka memberi manfaat kepada Sunview Group Berhad menerusi penyaluran semula modal kepada perniagaan teras iaitu kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan nilai bawaan sebanyak RM23.1 juta pada akhir tahun kewangan 2025 (FY25), kumpulan itu dijangka merekodkan keuntungan sekali sahaja (one-off) sebanyak RM6.8 juta hasil daripada pelupusan pegangan tersebut.
Katanya, kira-kira 60% daripada hasil jualan dijangka digunakan sebagai modal kerja bagi projek EPCC kumpulan, manakala sebahagian besar baki selebihnya akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman sedia ada.
Secara keseluruhannya, TA Research kekal positif terhadap cadangan pelupusan ini kerana ia membolehkan Sunview memperkukuh fokus kepada perniagaan teras serta mengoptimumkan penggunaan modal.
"Walaupun mengakui wujud jurang pendapatan selepas pelupusan Winstar, ia dijangka sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan dua aset solar baharu, projek EPCC baharu serta penjimatan faedah akibat pengurangan pinjaman," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, saranan “Hold” dikekalkan dengan harga sasaran tidak berubah RM0.395 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran 18 kali bagi CY27F serta premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.
Penjimatan Kos Kewangan
Langkah itu dijangka menjana penjimatan kos kewangan sekitar RM0.5 juta setahun, sekali gus memperbaiki struktur kos kumpulan.
Bagaimanapun, pelupusan berkenaan turut dianggarkan mengurangkan sumbangan syarikat bersekutu sekitar RM2 juta setahun, bersamaan kira-kira 18% daripada keuntungan bersih FY27F.
Dari sudut kunci kira-kira, transaksi tersebut dijangka menurunkan nisbah gear bersih Sunview kepada 1.07 kali daripada 1.26 kali pada akhir FY25, sekali gus meningkatkan kapasiti pinjaman bagi projek dan pelaburan baharu.
TA Research berkata, Sunview ketika ini sedang melaksanakan dua projek loji solar di bawah program LSS4 dengan kapasiti agregat 100MW, dengan satu projek telah siap pada Mei 2026 dan satu lagi dijangka siap menjelang November 2026.
Keperluan pembiayaan keseluruhan bagi pengambilalihan projek tersebut dianggarkan sekitar RM125 juta, namun boleh meningkat kepada RM175 juta hingga RM245 juta termasuk kos tambahan untuk menyiapkan salah satu aset berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sunview turut memperoleh kontrak EPCC bernilai RM1.96 bilion bagi pembinaan loji solar PV terapung berkapasiti 595MWac milik Tenaga Nasional Berhad di Kenyir, Terengganu, menerusi usaha sama 40:60 dengan Cypark Resources Berhad.
Firma penyelidikan itu berpandangan keperluan mendapatkan kemudahan kredit bagi membiayai modal kerja projek tersebut tidak menjadi isu besar memandangkan Tenaga Nasional Berhad merupakan pelanggan akhir yang kukuh dan berprofil kredit tinggi. - DagangNews.com








