KUALA LUMPUR 23 Jun - Prospek ICT Zone Asia Berhad kekal positif selepas kumpulan itu memperoleh kontrak keenam bagi tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen penyewaan teknologi kewangan (TechFin) yang menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat.
TA Research berkata, kontrak terbaharu itu menandakan perubahan semula komposisi perolehan kontrak kepada segmen penyewaan TechFin selepas beberapa kemenangan kontrak sebelum ini lebih tertumpu kepada aktiviti perdagangan.
Berbanding kontrak perdagangan yang lazimnya bersifat sekali sahaja, kontrak penyewaan selama 36 bulan menawarkan aliran pendapatan berulang yang disokong perjanjian jangka panjang, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan.
"Pendapatan berulang yang dijana sepanjang tempoh kontrak memberikan asas yang lebih stabil kepada prestasi kewangan syarikat dan selaras dengan model perniagaan pelbagai kitar hayat yang diterapkan oleh ICT Zone," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, rentak kemenangan kontrak yang berterusan juga menunjukkan syarikat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penambahan kontrak TechFin sebanyak RM200 juta bagi tahun kewangan 2027.
Setakat Januari 2026, syarikat telah memperoleh kontrak bernilai RM45.1 juta dan kemenangan terbaharu itu dijangka meningkatkan lagi jumlah berkenaan.
Rebut Peralihan Corak Perbelanjaan
Dalam masa sama, perkembangan tersebut turut mencerminkan trend yang semakin ketara dalam kalangan pelanggan korporat dan sektor awam yang beralih daripada model perbelanjaan modal (CAPEX) kepada perbelanjaan operasi (OPEX).
Trend itu dilihat semakin relevan dalam persekitaran kos perkakasan ICT yang terus meningkat, menjadikan model penyewaan sebagai pilihan yang lebih fleksibel dan menjimatkan.
TA Research berkata, walaupun kontrak berkenaan telah dimasukkan dalam unjuran kewangan sedia ada, aliran kontrak yang konsisten memberikan keyakinan lebih tinggi terhadap keupayaan syarikat untuk terus menambah buku tempahannya dan mengekalkan momentum pertumbuhan keuntungan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan tanpa sebarang perubahan memandangkan kontrak tersebut telah pun diambil kira dalam anggaran sebelumnya.
Pada masa sama, saranan "Beli" turut dikekalkan dengan harga sasaran RM0.31 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran sebanyak 11 kali ganda bagi pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2026.
Tarikan Utama
Menurut firma itu, tarikan utama ICT Zone terletak pada model pendapatan berulang yang disokong kontrak, model perniagaan pelbagai kitar hayat yang meningkatkan margin keuntungan dan kecekapan modal, serta manfaat daripada agenda pendigitalan kerajaan yang terus berkembang.
Dengan permintaan terhadap penyelesaian ICT berasaskan penyewaan dijangka terus meningkat, ICT Zone dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan jangka panjang dalam sektor teknologi tempatan. - DagangNews.com








