KUALA LUMPUR 23 Jun - Kee Ming Group Berhad berada pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan gelombang pembangunan infrastruktur pusat data dan tenaga boleh baharu (RE) di Malaysia, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, selain disokong oleh profil kewangan yang mantap serta kapasiti pelaksanaan yang membolehkan syarikat itu berkembang dengan pantas, Kee Ming juga mempunyai kelebihan daya saing berdasarkan model perniagaannya.
Menurut firma itu model perniagaan Kee Ming berbeza daripada kontraktor utama kerana syarikat lebih menumpukan kepada kerja-kerja selepas pembinaan struktur asas bangunan, termasuk pemasangan kabel, kerja pengujian dan pentauliahan sistem.
Pendekatan itu memberikan kelebihan daya saing kerana tidak ramai pemain industri memiliki pensijilan piawaian antarabangsa (ISO) serta kelulusan daripada pengendali pusat data berskala besar atau hyperscaler.
Sehubungan itu Kenanga Research memulakan liputan terhadap saham Kee Ming dengan saranan "outperform" dan harga sasaran RM1.80 sesaham, disokong oleh prospek pertumbuhan yang kukuh dalam sektor pusat data dan tenaga boleh baharu.
Kitaran Pertumbuhan Positif
Menurut Kenanga Research, syarikat itu kini sedang menikmati kitaran pertumbuhan yang signifikan dalam segmen perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, didorong oleh peningkatan perbelanjaan modal daripada sektor pusat data dan tenaga solar.
Tambahnya, Kee Ming mempunyai buku tempahan semasa berjumlah RM172 juta dengan kira-kira 70% daripadanya dijangka diiktiraf pada tahun kewangan 2027.
"Berdasarkan buku tender semasa bernilai RM1.7 bilion dan kadar kejayaan sejarah antara 15% hingga 20%, syarikat berpotensi memperoleh kontrak baharu bernilai antara RM250 juta hingga RM340 juta.
"Ini berupaya meningkatkan jumlah buku pesanannya kepada sekitar RM500 juta, bersamaan kira-kira tiga kali ganda hasil yang diunjurkan bagi tahun kewangan 2026," katanya dalam nota penyelidikan.
Kenanga Research berkata, risiko pelaksanaan projek bagi Kee Ming dilihat rendah berikutan kedudukan tunai bersih syarikat sebanyak RM47 juta serta disokong oleh 15 pengurus projek yang berpengalaman.
Menurutnya, kapasiti tersebut membolehkan kumpulan itu membida peluang projek bernilai sehingga RM900 juta.
Daripada jumlah buku tender RM1.7 bilion itu, sebanyak RM500 juta melibatkan tender berkaitan pusat data yang telah dikemukakan pada Jun lalu.
Kerjasama Strategik Dengan Solarvest
Dalam masa sama, Kenanga Research berpandangan kerjasama strategik dengan Solarvest Holdings Berhad akan membuka peluang pertumbuhan baharu kepada Kee Ming.
Melalui hubungan tersebut, syarikat berpotensi merebut projek kemudahan penyambungan tenaga solar yang dianggarkan bernilai RM833 juta.
Solarvest ketika ini merupakan pemegang saham strategik dengan pegangan sebanyak 24% dalam Kee Ming.
Selain itu, Kee Ming juga sedang berusaha untuk memperoleh status kontraktor Tahap 1 Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang dijangka dapat menyediakan aliran kerja jangka panjang dan meningkatkan keterlihatan pendapatan berulang pada masa depan.
Sehubungan itu, Kenanga Research mengunjurkan keuntungan teras Kee Ming berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 19% bagi tempoh dua tahun sehingga tahun kewangan 2028. - DagangNews.com








