KUALA LUMPUR 23 Jun - RHB Research mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Malaysia meskipun Indeks REIT Bursa Malaysia (KLREI) mencatat prestasi lebih lemah berbanding pasaran keseluruhan dengan penurunan 0.3% setakat tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor berkenaan kekal menarik kepada pelabur yang mencari pulangan dividen berikutan prospek pendapatan yang stabil, pembayaran dividen yang konsisten serta penilaian yang masih munasabah
.
Menurutnya, jurang hasil antara KLREI dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini berada sekitar 200 mata asas, atau 0.5 sisihan piawai di atas purata jangka panjang, sekali gus menjadikan sektor itu lebih menarik dari sudut penilaian.
“Pada masa sama, jangkaan RHB Economics bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada 2.75% sepanjang 2026 memberi sokongan kepada keadaan pembiayaan yang lebih kondusif bagi sektor REIT,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Keputusan Kewangan Tepati Jangkaan
RHB Research berkata, kesemua lapan REIT di bawah liputannya mencatat keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 yang menepati jangkaan.
Dalam segmen runcit, IGB REIT merekodkan peningkatan ketara keuntungan bersih sebanyak 52% tahun ke tahun, didorong oleh sumbangan aset Mid Valley Southkey selepas proses suntikan aset diselesaikan pada November 2025.
Bagi segmen pejabat pula, IGB Commercial REIT muncul antara prestasi terbaik dengan keuntungan bersih meningkat 28% tahun ke tahun hasil peningkatan kadar penghunian kepada 93% berbanding 89% sebelumnya, selain kadar sewa purata yang lebih tinggi.
Dalam segmen perindustrian, AME REIT mencatat pertumbuhan pendapatan 13% tahun ke tahun, disokong oleh enam pemerolehan hartanah perindustrian baharu sepanjang 12 bulan lalu, selain mengekalkan kadar penghunian penuh dan semakan sewa yang positif.
Mengulas prospek sektor itu, firma penyelidikan tersebut berpandangan asas industri masih kukuh dengan kadar penghunian yang tinggi serta pertumbuhan sewa yang stabil.
Data jualan runcit terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perbelanjaan pengguna terus berdaya tahan apabila meningkat 6.3% pada April 2026 berbanding 4.7% pada tempoh sama tahun lalu.
Sentimen Pengguna Berubah
Bagaimanapun, RHB Research mengingatkan sentimen pengguna berkemungkinan menjadi lebih berhati-hati dalam tempoh beberapa bulan akan datang, manakala aliran ketibaan pelancong dijangka kekal tidak menentu.
“Pusat beli-belah utama yang mempunyai kawasan tadahan pelanggan yang kukuh, kadar penghunian tinggi dan penyewa berkualiti dijangka berada pada kedudukan lebih baik untuk mempertahankan pertumbuhan pendapatan,” katanya.
Bagi segmen pejabat, firma itu mengakui sentimen pasaran masih lemah berikutan kekurangan pemacu permintaan baharu, namun kadar hasil sekitar 8% hingga 9% masih menawarkan daya tarikan kepada pelabur.
Sementara itu, REIT perindustrian dijangka terus mendapat manfaat daripada faktor permintaan berstruktur yang disokong oleh inisiatif dasar kerajaan, tempoh pajakan purata wajaran (WALE) yang panjang dan kadar penghunian yang tinggi.
Pilihan RHB Research
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan Axis REIT dan Pavilion REIT sebagai pilihan utama sektor.
Menurut firma itu, Axis REIT terus disokong oleh kedudukannya sebagai REIT perindustrian terbesar negara, asas penyewa yang berkualiti, saluran pemerolehan aset yang jelas serta kecairan dagangan yang lebih baik.
Pavilion REIT pula dijangka mendapat manfaat daripada pendedahan kepada aset runcit utama, peningkatan sumbangan daripada Pavilion Bukit Jalil serta pertambahan pendapatan daripada aset hotel miliknya.
Antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek sektor REIT termasuk penyempitan jurang hasil, masalah lebihan penawaran yang berterusan dan kejutan makroekonomi. - DagangNews.com








