KUALA LUMPUR 23 Jun — Peningkatan ketara perbelanjaan subsidi bahan api berikutan harga minyak mentah global yang kekal tinggi dilihat berisiko menggagalkan sasaran defisit fiskal kerajaan.
Menurut analisis TA Securities, jumlah keseluruhan subsidi tersebut serta ditambah dengan pelbagai lagi bantuan sosial lain dikhuatiri boleh mencecah sehingga RM60 bilion pada akhir tahun ini.
Tekanan fiskal yang naik itu dijangka menyukarkan usaha penyatuan fiskal kerajaan, malah defisit fiskal 2026 berkemungkinan melebar sedikit kepada 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Angka ini melepasi sasaran rasmi 3.5%, dan pelaksanaan program BUDI Madani Diesel bermula 1 Julai 2026 merupakan langkah penting rasionalisasi subsidi bahan api secara lebih bersasar," katanya.
Di bawah mekanisme ini ujar TA Securities, rakyat yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad, manakala bukan warganegara tidak menikmati subsidi itu.
Artikel berkaitan: Akses awal Budi Diesel dibuka 27 Jun, kenderaan pikap dan jip layak dapat tambahan 100 liter kuota sebulan
Jelasnya, usaha tersebut bagi membendung ketirisan subsidi bahan api itu apabila penggunaan diesel bersubsidi meningkat daripada 505 juta liter pada Februari kepada 1.2 bilion liter pada April 2026.
Di Sabah dan Sarawak, jualan diesel diunjur mencecah 2 bilion liter pada 2025, melebihi permintaan sebenar 1 bilion liter, menunjukkan kemungkinan ada penyeludupan dan penggunaan tidak bersasar.
"Perbelanjaan subsidi bahan api RM11.2 bilion bagi tempoh empat bulan pertama 2026 dengan subsidi diesel meliputi RM5.5 bilion atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan," kata TA Securities.
Berdasarkan kadar semasa, jumlah subsidi bahan api diunjurkan mencapai RM39.2 bilion tahun ini, namun pelaksanaan BUDI Madani Diesel dijangka menjana penjimatan sekitar RM2 bilion setahun.
Jelasnya, walaupun penjimatan hanya 5% daripada keseluruhan bil subsidi tahunan, ia signifikan dalam mengekalkan ruang fiskal ketika ketidaktentuan geopolitik global mempengaruhi harga tenaga.

Dari sudut inflasi, TA Securities menjangkakan impak pelaksanaan BUDI Madani Diesel adalah minimum kerana majoriti pengguna diesel di negara ini yang berkelayakan masih lagi menikmati subsidi.
"Justeru, kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 pada kadar 2.1% hingga 2.6% tahun ke tahun (YoY), selain mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.3% hingga 4.7% bagi tahun ini," katanya.
Tambah firma itu, perluasan akses subsidi diesel kepada 700,000 pemilik kenderaan diesel berbanding 180,000 penerima bantuan tunai sebelum ini dijangka membantu bagi mengekalkan kuasa beli isi rumah.
Situasi itu ujar TA Securities, khususnya golongan luar bandar, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengguna pikap yang mempunyai keperluan perjalanan lebih tinggi. - DagangNews.com








