Phillip Capital: Risiko kelewatan projek terus jadi cabaran utama pertumbuhan HE Group | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital: Risiko kelewatan projek terus jadi cabaran utama pertumbuhan HE Group

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 Jun — Risiko kelewatan projek, kadar pengisian semula tempahan yang lebih perlahan serta tekanan terhadap margin keuntungan kekal menjadi cabaran utama kepada HE Group Berhad.

 

Phillip Capital dalam analisisnya berpandangan, isu tersebut akan membayangi syarikat itu meskipun ia berjaya memperoleh kontrak pusat data (DC) terbesar dalam sejarahnya bernilai RM102 juta.

 

Ujar firma berkenaan, faktor-faktor itu boleh menjejaskan momentum pertumbuhan kumpulan sekiranya tidak diurus dengan baik, terutama ketika persaingan dalam tender segmen DC semakin sengit.

 

"Kami namun berpandangan prospek HE Group kekal kukuh selepas baru dianugerahkan kontrak kerja elektrikal bagi sebuah DC di Johor daripada kontraktor utama yang tidak didedahkan," jelasnya.

 

Tender terkini itu kata Phillip Capital, melibatkan pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem elektrikal utama, yang sudah bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang September 2027.

 

Menurutnya, kemenangan kontrak itu meningkatkan jumlah kontrak baharu kepada RM230 juta setakat tahun ini, atau 115% daripada unjuran awal pengisian semula buku tempahan sebanyak RM200 juta.

 


HE Group_DagangNews2026

 

Artikel berkaitan: HE Group raih subkontrak RM102 juta kerja elektrikal sebuah pusat data di Johor

 

Di samping itu, firma penyelidikan tersebut percaya projek HE Group kali ini merupakan kerja pengembangan susulan bagi pengendali DC yang sedia ada di Malaysia dan sudah lama beroperasi kukuh.

 

"Dengan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 7%, kontrak ini dijangka menyumbang sekitar RM7 juta kepada keuntungan bersih sepanjang tempoh pelaksanaannya itu," tambah Phillip Capital lagi.

 

Susulan kontrak berkenaan, nilai buku terkumpul syarikat tersebut dianggarkan meningkat ke paras rekod RM250 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh sehingga akhir 2027.

 

Selain itu, HE Group turut memiliki buku tender bernilai RM900 juta dengan 94% daripadanya terdiri projek berkaitan DC, manakala keputusan tender tambahan bernilai RM50 juta di Johor masih ditunggu.

 

Sehubungan itu, Phillip Capital menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 10% hingga 15% selepas menyemak naik andaian pengisian semula tempahan syarikat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 73 sen sesaham disandarkan kepada gandaan harga pendapatan (PE) 16 kali bagi unjuran EPS tahun kewangan 2027. - DagangNews.com