KUALA LUMPUR 23 Jun - Pengasas dan pemegang saham pengawal Widad Group Bhd, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif syarikat itu selepas hampir dua tahun memegang jawatan berkenaan.
Syarikat pembinaan tersebut menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan, peletakan jawatan itu dibuat atas komitmen peribadi.
Muhammad Ikmal, 58, memiliki pegangan langsung sebanyak 0.06% dalam Widad, selain pegangan tidak langsung sebanyak 13.6%.
Beliau dilantik menganggotai lembaga pengarah pada Julai 2024.
Pelantikan itu dibuat ketika Widad berdepan penelitian susulan penemuan Jabatan Audit Negara bahawa syarikat tersebut telah memeterai perjanjian opsyen jual dan beli (put-and-call option) dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada Oktober 2020, yang mengakibatkan kerugian pelaburan yang besar.

Pada 16 Jun lalu, Widad mengumumkan cadangan pengambilalihan empat lot tanah perindustrian pegangan bebas yang saling bersebelahan di Estet Perindustrian Nilai daripada Hextar Technologies Solutions Bhd telah ditamatkan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan terhadap terma-terma yang disemak semula bagi perjanjian jual beli baharu.
Urus niaga itu sebelum ini turut dibatalkan pada Ogos tahun lalu apabila Hextar memaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang menilai semula terma-terma bagi potensi transaksi baharu susulan perubahan keadaan ekonomi serta penilaian semula terhadap lot-lot tanah berkenaan. - DagangNews.com








