Pendapatan langganan susut, untung Astro menjunam 88% pada suku pertama 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan langganan susut, untung Astro menjunam 88% pada suku pertama 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Untung bersih Astro Malaysia Holdings Bhd merosot 88% kepada hanya RM1.56 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 disebabkan penyusutan pendapatan langganan dan tekanan kos yang menjejaskan prestasi operasinya.

 

Keuntungan yang amat kecil itu hanya disokong oleh kredit cukai berjumlah RM4.5 juta menunjukkan Astro sebenarnya merekodkan kerugian sebelum cukai bagi tempoh berkenaan.

 

Prestasi Astro itu mencerminkan tekanan berterusan yang sedang dihadapi perniagaan teras kumpulan ketika industri penyiaran berbayar terus berdepan perubahan landskap yang semakin mencabar.

 

 

 

 

 

 

Hasil kumpulan turut susut 6.2% kepada RM659.62 juta berbanding RM703.27 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan pendapatan langganan yang lebih rendah.

 

Pada masa sama, Astro berdepan peningkatan kos operasi termasuk kos ‘set-top box’ yang lebih tinggi serta perbelanjaan berkaitan tenaga kerja, termasuk pembayaran pampasan pemberhentian pekerja.

 

Ketua Pegawai Kewangan Astro, Grace Lee berkata, persekitaran operasi kekal mencabar apabila pengguna masih berdepan tekanan kos sara hidup dan semakin berhati-hati dalam membuat keputusan perbelanjaan.

 

Menurut beliau, pengguna kini lebih selektif dalam memilih perkhidmatan hiburan yang ingin dilanggan dan faktor itu memberi tekanan kepada pemain industri televisyen berbayar.

 

Astro sebelum ini telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengekang penyusutan pelanggan termasuk menawarkan diskaun, mengurangkan kos kandungan, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan, menarik pelanggan baharu serta mengurangkan tenaga kerja bagi menjimatkan kos.

 

Persaingan sengit Netflix

Bagaimanapun, syarikat itu masih berdepan persaingan sengit daripada platform penstriman global seperti Netflix serta perubahan tabiat pengguna, khususnya golongan muda yang semakin banyak menghabiskan masa menonton kandungan percuma menerusi platform media sosial seperti TikTok dan YouTube.

 

Bagi mengukuhkan kedudukannya, Astro merancang memperluaskan jumlah dan variasi kandungan dalam pakej berharga lebih rendah di samping menawarkan harga kemasukan yang lebih mampu milik bagi perkhidmatan Astro dan platform penstrimannya, Sooka.

 

 

 

 

 

 

Syarikat itu juga mempercepatkan pembangunan segmen perniagaan lain termasuk Sooka, pengiklanan digital dan media sosial serta studio kandungan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu dan menjangkau segmen pasaran yang lebih luas.

 

Astro tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku berkenaan. - DagangNews.com