Vincent Tan tingkatkan semula pegangan langsung dalam Berjaya Corp kepada 6.13% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vincent Tan tingkatkan semula pegangan langsung dalam Berjaya Corp kepada 6.13%

Tan Sri Vincent Tan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Tan Sri Vincent Tan kembali menambah pegangan langsungnya dalam Berjaya Corp Bhd melalui beberapa transaksi pembelian saham bernilai kira-kira RM14 juta, walaupun sebelum ini beliau telah mengurangkan pegangan dalam kumpulan tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vincent Tan dilaporkan membeli sebanyak 59.97 juta saham atau1.02% kepentingan dalam Berjaya Corp daripada Berjaya Assets Bhd.

 

Saham berkenaan sebelum ini dipegang oleh anak syarikat Berjaya Assets iaitu Berjaya Bright Sdn Bhd dan Berjaya Times Square Sdn Bhd, yang kedua-duanya merupakan entiti milik penuh kumpulan tersebut.

 

Pembelian ini berlaku hanya beberapa hari selepas beliau turut membeli kira-kira 60 juta saham Berjaya Corp pada 8 Jun lalu melalui transaksi perniagaan langsung pada harga sekitar 23.5 sen sesaham.

 

Langkah terbaharu ini menunjukkan Vincent Tan sedang meningkatkan semula pegangan langsungnya dalam Berjaya Corp selepas sebelum ini melakukan pelupusan besar-besaran.

 

Pada penghujung Mei, beliau telah menjual sebanyak 461.65 juta saham Berjaya Corp melalui beberapa transaksi yang melibatkan pegangan langsung dan tidak langsung, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM115 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Vincent Tan jual saham Berjaya Corp RM115 juta, bukan lagi pemegang saham utama Salcon, REDtone, Berjaya Property, Atlan, Sports Toto dan Theta Edge

 

Selepas siri pembelian semula ini, pegangan langsung Vincent Tan dalam Berjaya Corp meningkat kepada 6.13%, manakala pegangan tidak langsung beliau kekal pada 10.96%.

 

Selain itu, Berjaya Assets turut memaklumkan Vincent Tan juga membeli 23.8 juta saham atau 0.48% kepentingan dalam Berjaya Property Bhd dengan nilai sekitar RM5.95 juta.

 

Saham tersebut sebelum ini turut dimiliki oleh Berjaya Bright Sdn Bhd yang menunjukkan pemindahan pegangan dalam kumpulan syarikat yang sama.

 

Secara keseluruhan, dua transaksi utama ini melibatkan nilai kira-kira RM20 juta dan menunjukkan pergerakan aktif dalam struktur pegangan dalam kumpulan Berjaya.

 

Berjaya Assets menjelaskan pelupusan tersebut dilakukan bagi merealisasikan sebahagian pelaburan dalam Berjaya Corp dan Berjaya Property.

 

Hasil jualan itu akan digunakan terutamanya sebagai modal kerja serta membiayai aktiviti pembangunan hartanah syarikat yang sedang berjalan. - DagangNews.com