KUALA LUMPUR 16 Jun - Sum Technology Holdings Berhad dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan dua digit yang mampan sehingga tahun kewangan 2028 (FY28), disokong oleh pelaksanaan projek semasa, pengisian semula buku tempahan serta pengembangan kapasiti operasi, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, kumpulan itu berada pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh selepas pulih daripada prestasi sederhana pada FY24 apabila hasil merosot kepada RM51.4 juta akibat kadar pengisian projek yang lebih perlahan.
Menurutnya, pada FY25, Sum Technology berjaya mencatatkan pemulihan ketara dengan hasil meningkat 27.9% tahun ke tahun kepada RM65.7 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) bertambah 12.4% kepada RM6.1 juta.
"Peningkatan prestasi itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada projek bateri kenderaan elektrik (EV) yang diperoleh daripada Honghui Engineering, projek pusat data oleh SSPI Inc serta projek bilik bersih untuk pelanggan semikonduktor termasuk Unisem.
"Walaupun pertumbuhan keuntungan lebih perlahan berbanding pertumbuhan hasil berikutan peningkatan kos operasi bagi menyokong pengembangan perniagaan dan kapasiti, kumpulan masih mengekalkan margin keuntungan bersih yang sihat sebanyak 9.2%," katanya dalam nota kajian.
MBSB Research berkata, kedudukan Sum Technology dalam segmen kejuruteraan bilik bersih dan kemudahan kritikal (mission-critical) memberikan kelebihan kompetitif, khususnya dalam industri semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data yang sedang berkembang pesat.
Pertumbuhan Pendapatan
Bagi FY26 hingga FY28, pendapatan kumpulan dijangka berkembang masing-masing sebanyak 17.1%, 20.6% dan 18.8%.
Pertumbuhan tersebut disokong oleh pelaksanaan projek sedia ada, peningkatan tempahan baharu daripada pelanggan semikonduktor, E&E dan pusat data serta pengembangan operasi menerusi kemudahan baharu di Jenjarom dan pembukaan pejabat yang dirancang di Manila, Filipina.
Firma penyelidikan itu menetapkan nilai saksama Sum Technology pada RM0.33 sesaham.
Pada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.28 sesaham, syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sekitar RM126 juta dan didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY25 sebanyak 20.8 kali.
"Kami menggunakan PE sasaran FY26 sebanyak 20.8 kali yang selaras dengan penilaian semasa IPO dan mencerminkan kedudukan pasaran khusus serta prospek pertumbuhan syarikat.
"Berdasarkan unjuran EPS FY26 sebanyak 1.58 sen, kami memperoleh nilai saksama RM0.33 sesaham," katanya.
Perbandingan Industri
Dari sudut perbandingan industri, firma itu berkata Critical Holdings Berhad dan iCents Group Holdings Berhad merupakan antara syarikat tersenarai yang paling hampir setanding dengan Sum Technology.
Walaupun penilaian Sum Technology lebih rendah berbanding PE iCents sebanyak 36.7 kali, ia masih lebih tinggi daripada PE Critical Holdings sebanyak 18.6 kali.
Firma penyelidikan berpendapat premium tersebut wajar memandangkan keupayaan EPCM bilik bersih bersepadu yang dimiliki Sum Technology, tahap keuntungan yang kukuh serta pendedahan langsung kepada tema pertumbuhan jangka panjang seperti pembuatan semikonduktor dan pembangunan pusat data.
Bagaimanapun, antara risiko utama yang perlu dipantau termasuk pengisian semula buku pesanan yang lebih perlahan akibat persaingan sengit, kebergantungan kepada tenaga pengurusan utama, peningkatan keperluan perbelanjaan modal serta kekurangan jurutera dan tenaga teknikal mahir dalam industri. - DagangNews.com








