KUALA LUMPUR 16 Jun - Mah Sing Group Berhad sekali lagi tersenarai dalam Fortune Southeast Asia 500, menjadikannya antara syarikat yang berjaya mengekalkan kedudukan dalam ranking berprestij itu selama tiga tahun berturut-turut sejak ia diperkenalkan pada 2024.
Penyenaraian tersebut mencerminkan keupayaan Mah Sing untuk terus mencatat pertumbuhan, mengekalkan prestasi operasi yang konsisten serta kekal berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dan pasaran yang sentiasa berubah.
Diterbitkan oleh organisasi media perniagaan global, Fortune, ranking tahunan itu menyenaraikan 500 syarikat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan hasil yang dicatatkan dalam tahun kewangan terkini.
Ia melibatkan syarikat dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Kemboja yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta daya saing rantau ini.
Mah Sing berkata, pengiktirafan berterusan itu turut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat tempatan terkemuka Malaysia dengan rekod prestasi lebih tiga dekad dalam industri pembangunan hartanah.
Pengiktirafan tersebut hadir selepas kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan 2025 (FY2025).
Momentum dan Prestasi Kewangan
Mah Sing merekodkan jualan hartanah tertinggi dalam tempoh sedekad sebanyak RM2.51 bilion, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap projek kediaman yang dibangunkannya.
Kumpulan turut mencatat hasil sebanyak RM2.52 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM382.9 juta, meningkat 13.6% berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa sama, jualan belum dibilkan (unbilled sales) berjumlah RM3.24 bilion setakat 31 Disember 2025, memberikan keterlihatan pendapatan yang sihat untuk tempoh akan datang.
Momentum tersebut berterusan pada 2026 apabila Mah Sing berjaya merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM978 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Prestasi itu meletakkan kumpulan pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran jualan RM2.76 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, didorong oleh permintaan kukuh dalam segmen rumah mampu milik dan pertengahan serta pelancaran projek di lokasi strategik.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengiktirafan tersebut merupakan bukti kepada perjalanan pertumbuhan dan ketahanan syarikat dalam mewujudkan nilai mampan jangka panjang.
"Untuk disenaraikan dalam setiap edisi Fortune Southeast Asia 500 sejak ia diperkenalkan amat bermakna kerana ranking ini bukan sekadar mengukur saiz syarikat, tetapi turut mencerminkan keupayaan sesebuah organisasi untuk kekal relevan, berdaya saing dan memberi impak dalam salah satu rantau ekonomi paling dinamik di dunia.
"Ia juga mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, pemegang saham, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan kepada Mah Sing selama ini," katanya. - DagangNews.com








