Vincent Tan jual saham Berjaya Corp RM115 juta, bukan lagi pemegang saham utama Salcon, REDtone, Berjaya Property, Atlan, Sports Toto dan Theta Edge | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vincent Tan jual saham Berjaya Corp RM115 juta, bukan lagi pemegang saham utama Salcon, REDtone, Berjaya Property, Atlan, Sports Toto dan Theta Edge

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun – Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mengurangkan pegangan sahamnya dalam Berjaya Corporation Bhd sekitar RM115 juta, menjadikan beliau tidak lagi tersenarai sebagai pemegang saham utama dalam enam syarikat berkaitan kumpulan itu.

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, transaksi berkenaan melibatkan pelupusan gabungan 461.65 juta saham Berjaya Corp menerusi tujuh urus niaga perniagaan langsung yang dilaksanakan pada 28 Mei lalu.

 

Pelupusan itu membabitkan pegangan langsung dan tidak langsung Vincent Tan dalam syarikat konglomerat berkenaan.

 

Susulan transaksi tersebut, pegangan langsung beliau dalam Berjaya Corp kini berkurangan kepada 4.11%, manakala kepentingan tidak langsung susut kepada 10.96%.

 

Secara keseluruhan, Vincent Tan kini memiliki kira-kira 15.08% atau 896.33 juta saham dalam Berjaya Corp daripada keseluruhan 5.95 bilion saham terbitan syarikat itu.

 

Menurut data Bloomberg, nilai keseluruhan pelupusan saham tersebut dianggarkan sekitar RM115 juta.

 

Pelupusan pegangan langsung itu dibuat menerusi beberapa syarikat penama termasuk Alliancegroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, MBSB Investment Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, TA Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, Kenanga Nominees (Tempatan) Sdn Bhd dan CGS International Nominees Malaysia (Tempatan) Sdn Bhd.

 

t
Tan Sri Vincent Tan

 

Sementara itu, pelupusan kepentingan tidak langsung dilaksanakan melalui B&B Enterprise Sdn Bhd serta Premier Merchandise Sdn Bhd.

 

Berikutan pengurangan pegangan tersebut, Vincent Tan tidak lagi dianggap sebagai pemegang saham utama dalam Salcon Bhd, REDtone Digital Bhd, Berjaya Property Bhd, Atlan Holdings Bhd, Sports Toto Bhd dan Theta Edge Bhd.

 

Perubahan status itu berlaku selepas pegangan tidak langsung beliau dalam syarikat-syarikat berkenaan melalui Berjaya Corp jatuh di bawah paras 5% yang ditetapkan Bursa Malaysia bagi kategori pemegang saham utama.

 

Bagaimanapun, Berjaya Corp masih kekal sebagai pemegang saham utama dalam keenam-enam syarikat tersebut kerana syarikat itu tidak melupuskan pegangan masing-masing, sebaliknya perubahan hanya membabitkan kepentingan peribadi Vincent Tan.

 

Vincent Tan juga masih merupakan pemegang saham utama dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, Berjaya Food Bhd dan Berjaya Assets Bhd walaupun pegangan beliau dalam syarikat-syarikat tersebut turut berkurangan.

 

 

 

Beliau memiliki 15.397% pegangan langsung dan 5.537% pegangan tidak langsung dalam 7-Eleven Malaysia, selain 5.007% pegangan langsung dan 1.26% kepentingan tidak langsung dalam Berjaya Food.

 

Bagi Berjaya Assets pula, beliau mempunyai 14.552% pegangan langsung dan 13.644% kepentingan tidak langsung, manakala saham Berjaya Corp ditutup tidak berubah pada 24.5 sen semalam dengan nilai pasaran sekitar RM1.49 bilion selepas susut 14% sejak awal tahun ini. - DagangNews.com