Astro menang ganti rugi RM175,000 terhadap kafe pool siarkan perlawanan EPL secara haram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astro menang ganti rugi RM175,000 terhadap kafe pool siarkan perlawanan EPL secara haram

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jan - Astro mencatat kemenangan kedua dalam penganugerahan ganti rugi statutori oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas sebuah kafe pool tempatan didapati bersalah melanggar hak cipta gara-gara menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara haram.

 

Dalam keputusan bertarikh 7 Januari 2025 itu, mahkamah memihak kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd., anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad, dengan menganugerahkan ganti rugi statutori berjumlah RM175,000. 

 

Kes itu melibatkan Frenz Pool Cafe dan Tuwang 69 Sdn. Bhd., yang menyiarkan kandungan Astro tanpa kebenaran.

 

 

Tindakan undang-undang tersebut membabitkan tayangan awam tanpa kebenaran perlawanan EPL antara Manchester United dengan Brighton pada 16 September 2023, yang disiarkan menerusi Astro Supersport 3. 

 

Pelanggaran tersebut turut melibatkan penggunaan logo dan elemen penjenamaan Astro secara tidak sah, yang menjadi faktor penting dalam keputusan mahkamah.

 

Pengarah Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong yang menyambut baik keputusan tersebut berkata, pihaknya sentiasa berusaha melindungi hak intelek dan keputusan berkenaan menegaskan komitmen untuk memastikan pihak-pihak yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak, dikenakan tindakan tegas. 

 

"Perjuangan kami tidak terhenti di sini. Kami akan terus bertindak melindungi kandungan bermutu kami bagi membina ekosistem digital yang lebih adil untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain ganti rugi, mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan, melarang mereka daripada menyiarkan kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang. 

 

Defendan juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

 

Kemenangan itu susulan kejayaan pertama Astro dalam penganugerahan ganti rugi statutori pada November 2024 yang melibatkan sebuah pub tempatan. 

 

Berbeza dengan ganti rugi pampasan yang memerlukan bukti kerugian sebenar, jumlah bagi ganti rugi berkanun tersedia maktub dalam undang-undang.

 

Astro menganggap kemenangan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempertahankan pencipta, bakat dan inovasi yang menjadi teras industri hiburan. - DagangNews.com