AME REIT berpotensi berkembang pesat disokong oleh paras hutang rendah pada 27% , kata RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME REIT berpotensi berkembang pesat disokong oleh paras hutang rendah pada 27% , kata RHB Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - AME Real Estate Investment Trust (REIT) diramal meraih pendapatan kukuh dan berpotensi perkembangan dengan pesat disokong oleh paras hutang yang rendah pada 27%.

 

Prestasi kewangan AME REIT untuk sembilan bulan berakhir Disember 2024 kekal teguh, dengan keuntungan teras mencecah RM27.2 juta, peningkatan 2% tahun ke tahun (YoY).

 

RHB Investment Bank (RHB Research) menyukai kedudukan kewangan kumpulan menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik.

 

"Perbelanjaan pembiayaan meningkat sedikit sebanyak RM200,000 YoY disebabkan peminjaman tambahan untuk proses pemerolehan.

 

"Kami percaya penghunian penuh REIT dan pembaharuan pajakan akan datang pada FY26 dan FY27, masing-masing menyumbang 30% dan 20% daripada pendapatan sewa kasarnya, memberi peluang untuk mendapatkan kadar sewa yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AME REIT juga dalam proses memperoleh aset bernilai RM120 juta di Iskandar Malaysia, dengan dijangka siap secara berperingkat menjelang September 2025.

 

RHB Research menekankan bahawa nisbah penggearan rendah AME REIT sebanyak 14.9% pada Disember 2024, yang dijangka meningkat kepada 27% selepas pengambilalihan, menyediakan ruang utama pembiayaan yang ketara sebanyak RM380 juta sebelum mencapai had kawal selia sebanyak 50%.

 

RHB Research mengekalkan saranan "beli" ke atas AME REIT dan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.57 sesaham.

 

"Kami memuji AME REIT yang menumpukan kepada pertumbuhan organik dan bukan organik sambil berhati-hati terhadap risiko seperti pengambilalihan yang tertangguh, pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan pengembalian sewa lebih lemah daripada jangkaan.

 

"Dengan unjuran hasil menaik sebanyak 6% pada FY26, AME REIT terus dilihat sebagai pelaburan berdaya tahan dengan potensi pertumbuhan yang stabil," katanya.- DagangNews.com