KUALA LUMPUR 23 Jan - Alpha IVF Group Bhd dijangka mempelbagaikan enjin pertumbuhan dengan pelancaran klinik baharu dalam tempoh terdekat mampu membantu kumpulan menjana hasil mampan bagi baki tahun kewangan semasanya, kata UOB Kay Hian Research (UOBKH).
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, permintaan perkhidmatan pelanggan yang lebih tinggi dan klinik satelit tambahan memacu perkembangan hasil kumpulan.
“Bagi beberapa suku tahunan akan datang, Alpha IVF akan terus menyaksikan pertumbuhan yang baik.
"Kami menjangkakan peningkatan jumlah pesakit dari China berikutan pelancaran pejabat wakil jualan (SRO), permulaan klinik satelit tambahan di Jakarta, Indonesia, pelancaran kemudahan persenyawaan in-vitro (IVF) sulungnya di Filipina;dan kematangan Pusat Kesuburan Alhaya yang baru dilancarkan akan mendorong pendapatan kumpulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Bagi suku kedua berakhir 30 November 2024 (2Q25), Alpha IVF melaporkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM15.1 juta daripada RM12.2 juta tahun sebelumnya dan pertumbuhan hasil kepada RM43.24 juta daripada RM38.54 juta.
Syarikat itu yang menumpukan pada mengembangkan perkhidmatan pakarnya di Malaysia, China dan Asia Tenggara, mengaitkan peningkatan pendapatan dibantu oleh kemasukan pesakit asing.
Margin juga bertambah baik disokong oleh gabungan pesakit yang menggalakkan dan penggunaan SRO Shanghai.
ARTIKEL BERKAITAN: Alpha IVF catat peningkatan hasil jualan kepada RM15.1 juta, sumbangan pesakit asing mencecah 71.2%
"Kami berpendapat pendapatan 2Q25 kumpulan terus menyaksikan campuran pesakit asing yang tinggi, sebahagiannya disebabkan sumbangan sulung daripada SRO di Shanghai, China," katanya.
Melangkah ke hadapan, UOBKH berkata, sumbangan suku penuh daripada SRO China dan penubuhan klinik satelit di Jakarta, Indonesia sepatutnya menyokong keseluruhan jumlah pesakit.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Alpha IVF dengan harga sasaran (TP) bagi satu saham sebanyak 40 sen.
“Kami percaya Alpha IVF menjamin premium 20% kerana prospek pertumbuhannya yang menarik, kadar kejayaan klinikal di rantau ini, margin keuntungan yang kukuh dan pengembangan antarabangsa berterusan," katanya. - DagangNews.com








