KUALA LUMPUR 26 Feb – Kelulusan Kementerian Kewangan Iraq bagi pembayaran projek Baghdad Metro menjadi perkembangan kritikal yang meredakan kebimbangan aliran tunai HSS Engineers Berhad.
Menurut CGS International, perkembangan positif tersebut sekali gus membuka ruang kepada pemulihan sentimen ke atas harga saham semasa syarikat kejuruteraan berkenaan dalam kalangan pelabur.
Kelulusan itu ujarnya, membolehkan proses lebih bersifat komersial dengan pelaksanaan rasmi sedang berjalan dan pembayaran dijangka dilakukan secara berperingkat sehingga separuh pertama FY26.
"HSS mencatat keuntungan bersih teras RM13 juta pada 4QFY25, naik 18% tahun ke tahun (YoY), dengan keuntungan bersih teras FY25 berjumlah RM26 juta yang mengatasi unjuran kami," katanya dalam nota.
Bagaimanapun tambah CGSI, sepanjang tempoh suku berkenaan turut menyaksikan kerugian rosot nilai penghutang perdagangan sebanyak RM12 juta yang melibatkan beberapa projek lama kumpulan itu.
Margin keuntungan kasar pada 4QFY25 jelas firma penyelidikan tersebut, namun melonjak kepada 46% berbanding hanya 31% pada suku sebelumnya, susulan komposisi projek yang bermargin lebih tinggi.
Hasil divisyen perundingan pengurusan projek Baghdad Metro kekal mendatar YoY pada RM33 juta, disokong kemajuan yang kini mencapai 50% siap dengan 42% diiktiraf dalam penyata untung rugi.
"Projek rel bandar raya sepanjang 148 kilometer tersebut mewakili kira-kira 30% daripada buku tempahan kumpulan HSS yang berjumlah RM2.2 bilion setakat Disember 2025," jelas firma berkenaan.

Aliran tunai operasi FY25 kata CGSI, masih negatif RM7 juta, namun sudah kurang berbanding negatif RM17 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama FY25 berikutan kutipan projek yang lebih baik.
Bagi FY26 pula, pengurusan menyasarkan pengisian semula kontrak baharu sekitar RM300 juta daripada pelbagai projek teras tanpa mengambil kira projek infrastruktur besar mana-mana kerajaan tempatan.
Momentum projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat semakin jelas, termasuk potensi bagi Pan Borneo Sabah Fasa 1B, dan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (e-ART) di Johor.
"Walaupun positif terhadap kelulusan pembayaran Baghdad Metro, kami menurunkan unjuran perolehan FY26 hingga FY27 bagi mengambil kira kemungkinan kelewatan selepas pilihan raya Iraq," katanya.
Firma itu kini mengandaikan tiada sumbangan lanjut daripada projek Baghdad Metro dalam segmen perundingan pengurusan projek dan penyeliaan pembinaan sehingga terdapat kejelasan selanjutnya.
CGSI turut mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham HSS memandangkan model perniagaan kumpulan itu yang bersifat modal ringan dan kedudukan strategik di peringkat awal rantaian nilai pembinaan.
Namun, ia menurunkan harga sasaran kepada 81 sen sesaham berbanding RM1.12 sebelum itu dengan menilai risiko kelewatan proses pembayaran serta cabaran memasuki pasaran baharu. - DagangNews.com








