KUALA LUMPUR 13 Jan – HE Group Berhad dilihat kembali memulihkan aliran projek semasa dan memperkukuhkan buku tempahan syarikat itu kepada RM116 juta, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut merujuk kejayaan kumpulan itu apabila berjaya memenangi kontrak baharu bernilai RM12.6 juta daripada pengeluar elektronik berkaitan semikonduktor di Pulau Pinang.
Tender berkenaan melibatkan kerja-kerja sistem pengagihan kuasa, yang merupakan penyumbang utama terhadap keuntungan syarikat itu, dan dijangka memberikan keterlihatan pendapatan bagi FY26.
"Kami menekankan kemenangan ini menandakan pemulihan aliran projek daripada sektor semikonduktor dan teknologi tinggi, sambil mengekalkan prospek pertumbuhan," kata Maybank IB dalam notanya.
Tambahnya, kekuatan HE Group terletak dalam sektor pusat data (DC) dan peranti perubatan, dengan firma itu mengekalkan sasaran harga 48 sen sesaham serta saranan yang tidak berubah iaitu 'beli'.
Artikel berkaitan: HE Group terima tempahan RM12.6 juta bagi projek sistem pengagihan tenaga di Malaysia
Keyakinan tersebut jelas firma penyelidikan itu, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali pada FY26, yang sebenarnya adalah selari dengan unjuran rakan setara industri.
Firma itu juga mengekalkan andaian tahunan untuk pembaharuan buku tempahan sekitar RM200 juta bagi FY26 hingga FY27, disokong oleh buku tender kumpulan bernilai RM850 juta setakat 31 Oktober 2025.
"Pelaburan berterusan dalam ekosistem elektrikal dan elektronik (E&E) serta pembuatan maju di Malaysia dijangka menyokong permintaan berterusan untuk sistem pengagihan kuasa" katanya lagi.
Maybank IB menilai perkembangan dicatatkan HE Group masih selaras dengan kapasiti pengembangan dan naik taraf fasiliti pelanggan yang sedang giat dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan ketika ini.
Secara keseluruhan, syarikat itu dilihat mengekalkan momentum pertumbuhan pada awal 2026, dengan kontrak baharu menandakan kesinambungan permintaan daripada industri. - DagangNews.com








