HE Group terima tempahan RM12.6 juta bagi projek sistem pengagihan tenaga di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HE Group terima tempahan RM12.6 juta bagi projek sistem pengagihan tenaga di Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jan - HE Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hexatech Engineering Sdn. Bhd. (HESB), telah menerima Tempahan Pembelian (PO) bernilai kira-kira RM12.60 juta bagi kerja sistem pengagihan tenaga untuk sebuah pengeluar produk elektronik di Malaysia.

 

PO tersebut diterima pada 12 Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 November 2026, dengan tarikh mula adalah pada tarikh penerimaan PO, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

"Nilai kontrak tersebut boleh berubah berdasarkan sebarang variasi, penambahan atau pengurangan yang ditetapkan mengikut terma yang dinyatakan dalam PO," menurut HE Group.

 

Syarikat itu berkata, tiada risiko signifikan yang dijangka selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh projek.

 

Syarikat menjangka projek ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan HE Group tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan besar dalam syarikat.

 

Selain itu, syarikat menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam PO ini.

 

“Selepas pertimbangan sewajarnya, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa PO ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat.

 

"Urus niaga ini adalah sebahagian daripada operasi perniagaan biasa dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham,” kata kenyataan syarikat itu. - DagangNews.com