AirAsia X umum lanjutan masa bagi melengkapkan pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X umum lanjutan masa bagi melengkapkan pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - AirAsia X Bhd (AAX) mengumumkan perjanjian bersama dengan Capital A Bhd, melanjutkan garis masa bagi melengkapkan cadangan pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A, termasuk AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB).

 

Garis masa telah dilanjutkan selama dua bulan itu, dari 25 Januari hingga 24 Mac 2025, membolehkan kedua-dua pihak mendapat masa tambahan bagi memuktamadkan transaksi untuk AAAGL dan AAB.

 

Dalam tempoh ini, AAX juga akan meneydiakan terma muktamad dengan pelabur yang dikenal pasti untuk cadangan penempatan persendirian, bertujuan bagi meningkatkan hasil kasar sebanyak RM1 bilion. 

 

Semua proses usaha wajar untuk kedua-dua entiti telah berjaya dimuktamadkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, proses pengambilalihan itu semakin menghampiri garisan penamat.

 

"Majoriti pencapaian penting dalam proses itu telah pun dicapai termasuk kelulusan sebulat suara pemegang saham kami semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada Oktober 2024.

 

“Pelanjutan ini adalah langkah pragmatik bagi memastikan semua aspek urus niaga ditangani dengan teliti, termasuk mendapatkan kelulusan dan persetujuan akhir daripada pihak berkuasa, pembiaya dan pemberi pajak yang berkaitan, kebanyakan daripadanya telah pun kami selesai. 

 

“Kami menantikan penyempurnaan urus niaga yang dicadangkan, kerana penyepaduan semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia menjadi satu entiti yang kukuh, membuka jalan membentuk masa depan perjalanan udara tambang rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengambilalihan yang dicadangkan itu dijangka membuka kunci sinergi, termasuk sambungan rangkaian yang dipertingkatkan, penggunaan armada yang dioptimumkan dan kecekapan kos lebih baik.

 

Dengan menyatukan operasi di bawah satu entiti, syarikat penerbangan itu akan berada pada kedudukan yang lebih baik bagi mengembangkan kehadiran pasarannya di seluruh Asia Pasifik dan seterusnya sambil memberi nilai yang lebih besar kepada para pemegang saham dan pelanggan. - DagangNews.com