KUALA LUMPUR 23 Feb – AirAsia memulakan tahun 2026 dengan salah satu promosi terbesarnya, menawarkan diskaun sehingga 99% bagi semua tempat duduk dan semua penerbangan merentasi rangkaiannya.
Promosi masa terhad ini membolehkan pengembara merancang perjalanan atau percutian saat akhir dengan tambang yang lebih berpatutan.
AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, promosi tersebut sah mulai 23 Februari hingga 1 Mac 2026.
“Tempahan untuk semua laluan AirAsia dan AirAsia X dengan kod penerbangan AK & D7 boleh dibuat untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun 2026 hingga 27 Mac 2027 melalui airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE.
“Untuk Bahrain dan London, tempoh perjalanan bermula 26 Jun 2026 hingga 27 Mac 2027.
“Para penumpang boleh memilih pelbagai destinasi menarik. Bagi penggemar suasana bandar, tawaran termasuk Trivandrum, Changsha, Osaka, Sydney, Tashkent, Istanbul, Bahrain dan London manakala bagi mereka yang ingin percutian pantai boleh memilih destinasi seperti Labuan, Nha Trang dan Krabi,” katanya.
Selain itu, tempahan Value Pack bagi penerbangan AirAsia yang merangkumi hidangan, insurans perjalanan, pemilihan tempat duduk dan lain-lain turut mendapat potongan tambahan 10%.
Tawaran ini sah hanya untuk pembelian semasa tempahan awal melalui AirAsia MOVE dan tertakluk kepada ketersediaan.
Sejak penubuhannya 25 tahun lalu, AirAsia telah menerbangkan hampir satu bilion penumpang ke seluruh dunia.
Melalui promosi yang meliputi semua laluan ini, syarikat penerbangan itu menegaskan komitmennya untuk menjadikan perjalanan lebih mampu milik dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. - DagangNews.com








