AGX dijangka raih hasil ketiga terbesar daripada operasi di Vietnam, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGX dijangka raih hasil ketiga terbesar daripada operasi di Vietnam, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Nov - AGX Group Berhad dijangka menjadikan operasi baharunya di Vietnam sebagai penyumbang hasil ketiga terbesar kumpulan selepas Malaysia dan Filipina, menurut Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif itu susulan langkah agresif syarikat tempatan berkenaan memperkukuh kehadiran dalam sektor logistik aeroangkasa di negara berkenaan.


Katanya, ia susulan langkah anak syarikat kumpulan itu, AGX Vietnam memeterai kontrak perkhidmatan Freight Forwarding dan Aircraft-on-Ground (AOG) selama tempoh dua tahun dengan VietJet Aviation.


"Perkembangan ini berlaku setelah perjanjian terdahulu dengan Sun Phu Quoc Airways, yang merancang memperluas armadanya daripada lima kepada 35 pesawat dalam masa dua tahun," kata Phillip Capital.


Tambah firma itu, pertambahan operasi kedua-dua syarikat penerbangan itu dijangka melonjakkan lagi permintaan logistik dan memperkukuh jejak serantau AGX dalam pasaran penerbangan Vietnam sendiri.


Langkah berkenaan jelasnya, turut diyakini mampu untuk mengukuhkan sinergi operasi rentas sempadan dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta AOG di Asia Tenggara.



Artikel berkaitan: AGX Group dipilih VietJet sebagai penyedia perkhidmatan kargo, kastam di Vietnam

 

Selain itu kata Phillip Capital, perjanjian dengan VietJet pula menandakan penglibatan langsung pertama AGX dengan syarikat penerbangan negara berkenaan yang turut menawarkan sokongan logistik.


"VietJet yang ditubuhkan sejak 2007, juga menyediakan perkhidmatan AOG kepada AGX selama 24 jam sehari, bagi kesemua armada 121 pesawat syarikat berkenaan," kata firma penyelidikan itu lagi.


Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran 85 sen, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali ke atas unjuran hasil sesaham (EPS) pada 2026.


Phillip Capital bagaimanapun menegaskan yang potensi kenaikan saham kumpulan logistik berkenaan daripada pasaran Vietnam itu sebenarnya masih lagi belum diambil kira dalam unjuran semasa.


Sehubungan itu, ia memberi amaran antara risiko utama termasuk penurunan permintaan kargo, kadar freight lebih rendah, dan kemungkinan kehilangan pelanggan. - DagangNews.com