AGX Group dipilih VietJet sebagai penyedia perkhidmatan kargo, kastam di Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGX Group dipilih VietJet sebagai penyedia perkhidmatan kargo, kastam di Vietnam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov – AGX Group Berhad, penyedia penyelesaian logistik pihak ketiga melalui anak syarikatnya di Vietnam, AGX Logistics (Viet Nam) Co., Ltd menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan VietJet Aviation Joint Stock Company bagi menyediakan perkhidmatan penghantaran kargo dan urusan kastam untuk operasi syarikat penerbangan itu.

 

AGX berkata, perjanjian itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2026.

 

“AGX Vietnam dilantik sebagai penyedia perkhidmatan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, khusus untuk penghantaran yang dikategorikan sebagai “Aircraft on Ground” (AOG), iaitu penghantaran kritikal untuk memastikan pesawat yang menghadapi masalah teknikal dapat kembali beroperasi dengan segera. 

 

“Nilai sebenar perjanjian bergantung kepada bilangan penghantaran yang dilakukan dan caj ditentukan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak,” kata AGX dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX, Datuk Ponnudorai Periasamy berkata,  kerjasama dengan VietJet membolehkan syarikat memperkukuh kedudukan dalam pasaran logistik penerbangan Vietnam.

 

“Perjanjian ini turut membuka peluang kepada AGX untuk memperkukuh keupayaan perkhidmatan serta memanfaatkan peluang daripada pengembangan armada dan rangkaian laluan VietJet yang semakin berkembang.

 

“Perjanjian ini mengukuhkan kejayaan pengembangan serantau AGX dalam logistik aeroangkasa serta menunjukkan kemampuan syarikat menyediakan penyelesaian rantaian bekalan yang bersepadu dan boleh dipercayai,” katanya.

 

AGX Group Berhad menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh termasuk penghantaran laut dan udara, logistik aeroangkasa, penyimpanan gudang dan pengangkutan darat.

 

Syarikat itu kini beroperasi di lapan negara, termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam serta melalui rakan Kongsi di Kemboja dan Thailand.

 

Dengan perjanjian ini, AGX menjangkakan dapat meningkatkan pengaruhnya dalam pasaran penerbangan ASEAN yang berkembang pesat serta mencipta peluang perniagaan baharu sambil mengekalkan nilai jangka panjang untuk pemegang sahamnya. - DagangNews.com