Agong bimbang gejala fitnah siber, mahu kerajaan lebih tegas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agong bimbang gejala fitnah siber, mahu kerajaan lebih tegas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan perasaan bimbang dengan trend gejala fitnah dan hasutan yang semakin berleluasa atas talian dan platform media sosial.

 

Titah baginda, kerajaan perlu lebih bertegas dalam membendung amalan negatif itu dengan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai oleh para pengguna.

 

“Saya juga berasa bimbang, dengan penularan budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang boleh menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.

 

“Oleh itu, kerajaan perlu (bertindak) tegas dalam usaha membendung trend ini serta kena bersikap proaktif untuk dapat memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” titah Seri Paduka Baginda lagi.

 

Sultan Ibrahim bertitah demikian bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur yang turut disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen awam



Baginda selain itu juga menegaskan bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk mana-mana wakil rakyat dapat sesuka hati bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah ketika sibuk berbahas sebarang usul.

 

Sebaliknya kedua-dua dewan legislatif yang mulia itu titah Sultan Ibrahim, direka bagi mereka membahaskan dengan tertib segala agenda bersifat kepentingan rakyat serta yang mampu memacu kemakmuran negara.



Menurut Seri Paduka Baginda, Ahli-ahli Parlimen turut perlu bertindak sebagai benteng perpaduan negara dan bukannya pula bertindak denga menjadi ejen kepada perpecahan rakyat.

 

“Justeru, hentikanlah (segera) tindakan yang bermain politik atas setiap isu dan jangan cuma mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja. 

 

“Saya perhatikan dalam persidangan Parlimen tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah diucapkan kepada semua,” titah Sultan Ibrahim.



Namun begitu, baginda turut menegaskan bahawa masih ada lagi segelintir ahli yang didapati agak sukar untuk membuang tabiat lama yang negatif tersebut

 

“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Dewan sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah Seri Paduka Baginda.

 

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara.  - DagangNews.com