ACCIM saran disediakan skim kredit eksport, duti import diturunkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ACCIM saran disediakan skim kredit eksport, duti import diturunkan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Dewan Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan agar dapat menyediakan skim kredit eksport dan menurunkan duti import ke atas bahan mentah.


 

Usaha tersebut menurut Presidennya, Datuk Ng Yih Pyng, mampu untuk membantu komuniti perniagaan tempatan malah disifatkan mesra bisnes khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


 

Dasar pragmatik sedemikian juga tegasnya, adalah penting untuk membantu golongan berkenaan dapat memandu potensi kesan dasar perdagangan baharu yang dilaksanakan oleh ekonomi utama.


 

"Masyarakat perniagaan hanya mahu konsistensi jelas dalam dasar awam dan adalah penting pengekalan polisi pro-perniagaan pragmatik serta progresif," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran ACCIM.


 

Bahkan ujar Yih Pyng, inisiatif tersebut dijangka memupuk persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk kelompok pelabur dan perniagaan negara ini supaya mereka dapat berkembang dengan lebih maju.


 

Pihak kerajaan tambah beliau, harus lebih cakna menyokong PMKS dalam meneroka pasaran eksport baharu dan mempelbagaikan rantaian bekalan mereka daripada ruang yang sedia ada.


 

“Penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menjadi saluran untuk membina lebih banyak rakan perdagangan di Timur Tengah.

 

 

"Penyambungan semula rundingan Malaysia untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) akan mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Kesatuan Eropah," kata Yih Pyng.


 

ACCIM tambahnya, juga berharap agar pelaksanaan reformasi dan langkah ekonomi perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelak gangguan kepada sentimen pasaran dan perniagaan.


 

Ketika ini, kebimbangan mereka lebih kepada isu kenaikan tarif elektrik dan cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara mandatori ke atas pekerja warga asing.


 

Yih Pyng menekankan bahawa ACCCIM masih kekal positif mengenai prospek pelaburan Malaysia dan akan memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama ekonomi dan menggalakkan kerjasama perniagaan.


 

"Kami turut melihat trend lonjakan rangkaian antara perniagaan rakyat Malaysia dan asing namun terdapat rasa optimistik yang berhati-hati untuk prospek ekonomi dengan senarion perniagaan sepanjang tahun ini.


 

"Hasil dapatan awal tinjauan ACCCIM menunjukkan bahawa lebih 30 peratus responden menjangkakan prospek yang cukup baik untuk 2025, tinggi daripada di bawah 20 peratus untuk 2024 lalu," katanya.  - DagangNews.com