KUALA LUMPUR 22 Okt – Dunia korporat sedang berdepan dengan krisis senyap yang semakin mendesak apabila dianggarkan 75% organisasi di seluruh dunia gagal dalam mengisi jawatan kosong ditawarkan.
Perkara itu didedahkan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), Matthias Thorns yang ditemui DagangNews.Com pada Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 julung kali diadakan di sini.
Menurutnya, situasi yang dianggap negatif tersebut akibat kekurangan pekerja berkemahiran, serta turut diakui dalam laporan Talent Trends 2024 oleh Society for Human Resource Management (SHRM).
“Isu pekerja kurang kemahiran bukan lagi cabaran domestik, namun kini sudah menjadi masalah global yang boleh mengancam kadar pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan sosial,” tegasnya.
GSF 2025 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, serta turut disaksikan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert Houngbo, di sini hari ini.
Acara yang buat kali pertama berlangsung di luar Geneva itu dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama ILO dan IOE, serta disokong Kementerian Sumber Manusia.
Mengulas lanjut, Thorns menambah, dalam era kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan peralihan tenaga hijau, kemahiran pekerja boleh disifatkan sebagai aset baharu ekonomi moden.
Artikel berkaitan: Pelaburan kemahiran 'kunci' pekerjaan adil jangka panjang - Pertubuhan Buruh Antarabangsa

"Justeru, saya menyeru terutamanya negara-negara membangun untuk segera memperbaharui sistem pendidikan dan latihan kemahiran agar selari dengan kehendak pasaran industri," tegas beliau lagi.
Selain itu jelasnya, majikan tidak boleh mempertahankan model lama dengan sistem pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu terus berevolusi agar masih kekal relevan dan inklusif.
Bagaimanapun, Thorns memuji pencapaian dicatatkan Malaysia dalam mengurangkan kadar pekerjaan tidak setara kemahiran kepada 35.7% pada suku pertama 2025, berbanding kira-kira 37.3% sebelumnya.
Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan negara ini dalam memperkasakan TVET dan kerjasama awam-swasta untuk pembangunan modal insan melalui HRD Corp dan pelbagai inisiatif sepanjang tahun.
“ASEAN kini makin ke depan dalam pelaburan pendidikan kemahiran responsif terhadap perubahan,” katanya merujuk laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menganalisis kemajuan ekonomi rantau ini.
Thorns namun menekankan yang usaha penglibatan majikan dalam penambahbaikan kemahiran bukan lagi suatu pilihan, tetapi kini adalah keperluan wajib, jika negara ini ingin mengurangkan kadar jurang.
Di samping itu, beliau memetik contoh negara maju seperti Jerman, Austria dan Switzerland, dengan kadar ketidakpadanan kemahiran cuma 10% hasil keterlibatan majikan dalam sistem latihan nasional.
Berdasarkan kejayaan itu, beliau mengajak semua pemegang taruh untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat dalam membina tenaga kerja masa depan yang bersedia, berdaya saing dan inklusif.
“Majikan dalam tempoh jangka panjang perlu menjadi rakan strategik, bukan sekadar pengguna tenaga kerja lepasan daripada institut TVET, tetapi pemacu kepada pembangunan kemahiran,” ujar Thorns.
Pada masa sama, beliau memuji GSF bukan hanya perbincangan, namun tindakan dalam dunia yang berubah pantas, dengan pembelajaran adalah langkah kepada kemajuan pekerja. - DagangNews.com








