KUALA LUMPUR 4 Dis – Majoriti besar daripada 185 pemegang saham Jentayu Sustainables Berhad menolak dua cadangan utama dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan tersebut.
Ini termasuk rancangan syarikat untuk mengambil alih sepenuhnya Jentayu Solar Sdn Bhd melibatkan pembelian sebanyak 51% daripada kepentingannya dengan opsyen memiliki baki 49% selepas itu.
Berdasarkan keputusan rasmi, seramai 112 pemegang saham atau kira-kira 60.4% yang menguasai sejumlah 153,818,200 saham dalam kumpulan itu mengundi untuk menentang usul transaksi tersebut.
"Turut ditolak ialah cadangan syarikat meminda penggunaan hasil terbitan hak dilengkapkan pada 3 Mac 2022, dengan angka undian yang sama," maklum Jentayu Sustainables kepada Bursa Malaysia.
Daripada tiga usul yang dibentangkan pada EGM tersebut, hanya satu yang diluluskan iaitu cadangan penempatan persendirian sehingga 20% saham terbitan kumpulan itu, yang memperoleh 55.6% sokongan.
Artikel berkaitan: Pemegang saham Jentayu gesa EGM ditangguhkan, dakwa tarikh mesyuarat tidak sah
Keputusan diumumkan sejurus selepas saham Jentayu Sustainables digantung dagangannya pada pukul 2.30 petang bagi memudahkan pengumuman itu, sebelum dagangan disambung semula sejam kemudian.
Proses pengundian berkenaan dijalankan secara elektronik sebelum disahkan oleh pemeriksa bebas, SKY Corporate Services Sdn Bhd yang dilantik sendiri oleh pihak pengurusan kumpulan berkenaan.
Sementara itu, laporan media semalam menyatakan ada seorang pemegang saham, memohon injunksi mahkamah bagi menghalang EGM, dengan alasan mesyuarat itu tidak sah di sisi perlembagaan syarikat.
Peguamnya berhujah bahawa lembaga pengarah tidak mempunyai kuasa menangguhkan EGM asal pada 22 Oktober 2025 ke tarikh baharu, kerana penangguhan hanya boleh dibuat selepas mesyuarat bermula.
Beliau dikatakan memohon semua resolusi yang diputuskan hari ini diisytiharkan terbatal dan meminta syarikat menunda EGM sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi. - DagangNews.com








