Pemegang saham Jentayu gesa EGM ditangguhkan, dakwa tarikh mesyuarat tidak sah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Jentayu gesa EGM ditangguhkan, dakwa tarikh mesyuarat tidak sah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Dis – Seorang pemegang saham Jentayu Sustainables Berhad  menggesa supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat yang dijadualkan pada 4 Disember 2025 ditangguhkan dengan alasan ia tidak sah dari segi undang-undang.

 

Andy Lai Wee Young yang memiliki 1.361 juta saham Jentayu telah memfailkan Saman Pemula (Originating Summons, OS) serta permohonan injunksi pada 28 November 2025 bagi menghalang syarikat daripada mengadakan atau melaksanakan sebarang resolusi yang mungkin diluluskan melalui EGM tersebut.

 

Firma guaman yang mewakili Lai iaitu Mak LK & Co berkata, Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh pendengaran permohonan injunksi pada 5 Disember 2025.

 

“Lai mempertikaikan keputusan syarikat untuk menangguhkan EGM daripada tarikh asal 22 Oktober 2025 ke 4 Disember 2025.

 

“Menurut pemfailannya, Perlembagaan syarikat khususnya Artikel 70 dan 71 tidak memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk menangguhkan EGM selepas notis dikeluarkan. 

 

“Sebarang penangguhan hanya boleh dibuat selepas mesyuarat bermula dan dengan persetujuan pemegang saham yang hadir. Memandangkan tiada mesyuarat berlangsung pada 22 Oktober, Lai berhujah bahawa tiada penangguhan yang sah boleh berlaku, menjadikan tarikh baharu EGM tersebut adalah tidak sah,” menurut firma guaman tersebut.

 

Lai juga mencabar tarikh rekod pendeposit baharu bagi mesyuarat yang dijadualkan semula itu kerana terdapat percanggahan antara borang proksi untuk EGM asal yang mendedahkan syarikat kepada risiko pelanggaran Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Selain itu, Lai berhujah bahawa syarikat gagal menjelaskan sama ada dokumen pemeriksaan mandatori seperti yang dinyatakan dalam surat pekeliling pemegang saham masih tersedia untuk diteliti sehingga tarikh mesyuarat baharu. 

 

Kegagalan ini, katanya, mungkin melanggar garis panduan Bursa. Lai turut mengkritik Jentayu kerana tidak mengumumkan perkara tersebut kepada Bursa Malaysia walaupun ia sangat penting.

 

Melalui Saman Pemula, Lai memohon agar sebarang resolusi yang mungkin diluluskan pada EGM 4 Disember dibatalkan sekiranya mesyuarat tetap diteruskan. 

 

Resolusi tersebut termasuk cadangan penempatan persendirian sehingga 20% saham terbitan syarikat, cadangan pemerolehan ekuiti dalam Jentayu Solar Sdn Bhd, serta cadangan variasi dalam penggunaan hasil daripada terbitan hak (rights issue) tahun 2022.

 

Lai berhujah EGM yang dipertikaikan itu tidak boleh menjadi platform sah untuk membuat keputusan berhubung urus niaga korporat utama apabila maklumat yang mencukupi belum didedahkan.

 

Memandangkan prosiding Mahkamah Tinggi masih berjalan dan dakwaan melanggar prosedur, Lai menggesa syarikat untuk menangguhkan EGM sehingga mahkamah membuat keputusan. 

 

Beliau berpendapat tindakan meneruskan mesyuarat akan mengabaikan tadbir urus yang betul, menjejaskan hak pemegang saham, dan berpotensi mendedahkan syarikat kepada komplikasi undang-undang yang lebih besar.

 

Lai menegaskan bahawa tindakan undang-undangnya didorong oleh hasrat untuk memastikan ketelusan, pematuhan undang-undang dan perlindungan kepentingan pemegang saham. - DagangNews.com