KUALA LUMPUR 11 Mei - SYF Resources Berhad telah melantik puteri Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Hajjah Aishah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, 66, sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif baharu berkuat kuasa 10 Mei 2023.
Menurut makluman SYR Resources di Bursa Malaysia semalam, Tengku Aishah turut memegang jawatan pengarah dalam tiga syarikat awam berhad iaitu sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif di kedua-dua Insas Bhd (sejak November 1986) dan Divfex Bhd (sejak Oktober 2018), dan sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, Inari Amertron Bhd
Tengku Aishah juga pernah menjadi pengarah TAS Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah di Kuala Lumpur, sejak 1990.
SYF Resources dalam tiga lagi makluman di Bursa Malaysia semalam juga telah melantik tiga individu sebagai pengarah.
Datuk Yong Lei Choo, 62, telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Dan Bukan Eksekutif, yang turut memegang jawatan pengarah dalam empat syarikat tersenarai lain, iaitu LBS Bina Group Bhd, Red Ideas Holdings Bhd, Fiamma Holdings Bhd dan Vestland Bhd.
Sebelum ini beliau telah berkhidmat dengan pasukan polis selama hampir 36 tahun sebelum bersara pada Oktober 2021 sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.
Sementara itu, Datuk Tan Choon Peow, 52, menyertai SYF Resources sebagai Pengarah Eksekutif baharu bagi menggantikan Ng Wei Ping, 33, yang telah dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.
“Beliau (Tan) mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam perakaunan dan kewangan korporat dan terlibat dalam pelbagai penstrukturan semula, tawaran awam permulaan, pengumpulan dana, serta penggabungan dan pemerolehan,” kata kumpulan itu.
Tan, seorang akauntan bertauliah terlatih, juga telah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Kewangan Korporat M&A Securities Sdn Bhd sejak Mac 2013 dan merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia dan Akauntan Bertauliah Australia, kedua-duanya sejak 1996.
Kumpulan itu juga melantik semula Datuk Seri Ng Ah Chai, 61, sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, daripada jawatannya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan. Ah Chai, pemegang saham besar SYF Resources dengan 5.94% kepentingan juga merupakan bapa Wei Ping. -DagangNews.com








