Starbucks terus jadi pilihan ramai, Berjaya Food rancang tambah 40 cawangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Starbucks terus jadi pilihan ramai, Berjaya Food rancang tambah 40 cawangan baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Julai - Berjaya Food Bhd. merancang untuk menambah kira-kira 38 hingga 40 cawangan minuman kopi premiumnya, Starbucks, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23), menurut Maybank Investment Bank (IB).

 

Firma itu berkata, sebanyak 40% daripada cawangan baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan pandu lalu. 

 

Setakat akhir Jun 2022, katanya, Starbucks mempunyai 356 cawangan di seluruh negara dengan sebahagian hasilnya dipacu menerusi jualan cawangan yang merangkumi 58% diikuti pandu lalu (30%) dan penghantaran (12%). 

 

"Kami menjangkakan Berjaya Food akan merekodkan jualan yang lebih kukuh pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022, setelah ia mencatat penurunan kepada bulan Ramadan. 

 

"Corak perbelanjaan pengguna yang kembali meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri dan tabiat mereka yang suka menghabiskan masa di luar terutamanya kedai makanan dan minuman (F&B) seperti Starbucks akan menjadi pemangkin jualan kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian. 

 

Selain Starbucks, prospek Kenny Roger's Malaysia juga kekal menguntungkan dengan kehadiran lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah pada suku keempat FY22. 

 

"Kami turut mendapati, Berjaya Food merancang untuk membuka 4 hingga 5 cawangan baharu Kenny Rogers pada FY23," tambahnya.

 

Bagi melonjakkan lagi jenama kumpulan, baru-baru ini Berjaya Food menandatangani perjanjian  kerjasama dengan Paris Baguette Singapore Plc untuk membuka cawangan Paris Baguette di Malaysia.

 

Cawangan pertamanya akan dibuka menjelang akhir tahun ini di salah sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

 

Melihat kepada prospek kumpulan, secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Berjaya Food pada harga sasaran RM5.70 sesaham. 

 

Firma itu kekal positif terhadap Berjaya Food berikutan permintaan yang teguh dan keupayaan pengurusan kos di tengah-tengah cabaran industri yang diselubungi kemerosotan pendapatan isi rumah pengguna dan tekanan kos input.

 

"Kumpulan berada pada kedudukan yang baik dalam industri F&B untuk mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan mengekalkan daya tarikannya sebagai produk 'mewah yang mampu dimiliki' dalam kalangan penggunanya," katanya. 

 

Setakat 12.16 tengah hari ini, harga saham Berjaya Food susut 7 sen atau 1.83% kepada RM3.76 dengan 208,100 saham diniagakan. - DagangNews.com