SMTrack lantik Puteri Johor, Tunku Kamariah sebagai pengerusi baharu | DagangNews Skip to main content

SMTrack lantik Puteri Johor, Tunku Kamariah sebagai pengerusi baharu

Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - SMTrack Berhad melantik kakak sulung Sultan Johor, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar sebagai pengerusi bukan eksekutif baharu syarikat itu berkuat kuasa 1 November 2023.

 

Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, Tunku Kamariah, 67, dilantik menggantikan Datuk Seri Shaharuddin Khalid, 63, yang ditetapkan semula jawatan sebagai presiden berkuat kuasa hari yang sama.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Azmi Osman berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Tunku Kamariah ke SMTrack sebagai pengerusi baharu kumpulan itu.

 

"Kehadiran beliau yang dihormati bukan sahaja mengukuhkan kepimpinan lembaga kami tetapi melambangkan mercu tanda perpaduan dan kemajuan bagi organisasi kami," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

 

Sebelum ini, Tunku Kamariah terlibat dengan perebutan bagi merampas kawalan ke atas kumpulan syarikat KNM Group Berhad, yang mengalami masalah kewangan.

 

Namun selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu, Lembaga Pengarah sedia ada di bawah Pengerusi semasa, Tunku Datuk Yaacob Khyra memenangi sokongan majoriti pemegang saham untuk meneruskan kepimpinannya dan melaksanakan strategi pemulihannya dan Skim Pengaturan dengan Pemiutang.

 

EGM tersebut turut mencadangkan pembentukan Lembaga Pengarah baharu yang terdiri daripada Tunku Kamariah, Andreas Heeschen, Edwin Silvester Das, Datuk Zaidi Mat Isa, William H Van Vliet III, Flavio Porro, dan Datuk Abd Ghani Yusof.

 

Bagaimanapun, Puteri Johor bersama bilionair Jerman, Andreas Heeschen dan lima individu yang menyasarkan untuk mengambil alih pengurusan kumpulan itu tidak mengiktiraf keputusan itu.

 

Beliau bersama enam lagi individu – Andreas Heeschen, Edwin Silvester Das, Datuk Zaidi Mat Isa, William H Van Vliet III, Flavio Porro, dan Datuk Abd Ghani Yusof – akan meminta siasatan dijalankan terhadap pengiraan undi tersebut yang didakwa menyeleweng.

 

Sementara itu, pengarah eksekutif SMTrack Datuk Zaidi Mat Isa @ Hashim menyifatkan pelantikan Tunku Kamariah sebagai bukti komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan dan kepimpinan.

 

"Dengan pandangan dan pengalaman yang mendalam, kami berharap untuk meningkatkan tahap baharu dan mencapai pencapaian yang sesuai dengan warisan kecemerlangannya," katanya.

 

"Kami percaya bahawa pelantikan itu akan memberi manfaat besar kepada syarikat dan pemegang kepentingannya sambil menetapkan nada untuk pertumbuhan dan kejayaan selanjutnya pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Selain SMTrack, Tunku Kamariah juga kini merupakan pengerusi AHB Holdings Berhad. - DagangNews.com